Urusan Parlimen diurus lebih baik pada era Najib berbanding PN, kata ahli Parlimen PKR

Ahli Parlimen Subang (PH-PKR) Wong Chen hari ini berkata, urusan pentadbiran di Parlimen diuruskan lebih baik sewaktu ahli Parlimen Pekan Najib Razak menjawat tugas sebagai perdana menteri.

Wong berkata, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kini dilihat mempunyai perbezaan majoriti yang sangat tipis, bahkan komitmennya untuk mematuhi prosedur ditetapkan berada di tahap rendah.

“Dengan pelantikan speaker pada baru-baru ini, bukan sahaja kerajaan ini dilihat mempunyai “razor thin majority”, tetapi komitmen kepada prosedur yang ditetapkan adalah sangat rendah.

“Sebagai perbandingan, pada pentadbiran Pekan (Najib) dahulu, dari segi prosedur Parlimen nampaknya lebih profesional berbanding sekarang,” katanya sewaktu berbahas di Parlimen, hari ini.

Pada 13 Julai, bekas speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusoff ditolak di Dewan Rakyat dengan majoriti tipis, dengan seramai 111 ahli Parlimen yang menyokong usul mengosongkan kerusi beliau dan 109 pula menentang.

Susulan itu, Azhar Azizan Harun pula dilantik sebagai speaker Dewan Rakyat tanpa sundian dilakukan, yang menyebabkan timbul kekecohan dalam kalangan ahli Parlimen, khususnya dari blok pembangkang.

Dalam perbahasan sama, Wong turut meminta Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memberikan penjelasan mengenai pakej ransangan yang diumumkan sebelum ini, khususnya sewaktu pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Saya minta kerajaan khasnya menteri kewangan untuk memberikan data-data sebenar berkaitan Covid-19, bukannya nombor yang bersifat fantasi. Khususnya berapakah jumlah wang yang digunakan untuk Covid-19 oleh kerajaan sejak PKP.

“Apakah perincian kegunaan wang tersebut. Semua data ini perlu. Adakah jumlah besar ini akan mencapai dana RM295 bilion seperti diumumkan kerajaan sebelum ini.

“RM295 bilion merupakan 18% KDNK negara, jumlah ini memang sukar hendak dipercayai.

“Negara-negara terkaya di dunia ini cuma buat bajet kurang dari 10% KDNK untuk atasi Covid-19 dan yang terkaya ini mereka mempunyai kelebihan. Bagi saya lebih penting kerajaan berterus terang,” katanya. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker