UEC warisan vernakular Cina zaman penjajahan Inggeris

BANGI, 27 Zulkaedah 1441H, Ahad – Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Dr Awang Sariyan meminta semua pejuang bahasa dan pendidikan kebangsaan segera bangkit menolak Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) – yang bercanggah dengan Dasar Pendidikan.

Beliau berkata, UEC ialah gambaran warisan sekolah vernakular Cina pada zaman penjajahan Inggeris yang kurikulum, latihan guru, bahan ajar dan peperiksaannya tidak berorientasikan negara ini.

“Apabila kemerdekaan tercapai, proses pembentukan negara bangsa dilaksanakan untuk membentuk jati diri rakyat sebuah negara berdaulat dan perpaduan. Maka diselaraskan kurikulum, latihan guru, bahan ajar dan penaksiran atau peperiksaan supaya mempunyai hala tuju yang sama.

“Satu unsur lain ialah penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa penghantar utama, sebagaimana juga Mandarin di China.



“Pejuang UEC perlu menjawab pertanyaan adakah sistem pendidikan yang diamalkan di sekolah yang kemudian melanjutkan UEC telah memenuhi ciri dan syarat itu,” soalnya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Mengulas lanjut, Datuk Awang Sariyan yang juga Penyandang Kursi Za’ba Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata, asas pejuang bahasa dan pendidikan kebangsaan menolak UEC bukan kerana namanya demikian, tetapi kerana UEC tidak mewakili falsafah dan dasar pendidikan kebangsaan.

“Sejak awal penubuhannya kiblat kurikulumnya ialah Taiwan, bukan tanah air Malaysia.

“Bahasa Melayu dan Sejarah negara pun tidak menjadi bahagian penting, sedangkan bahasa kebangsaan dan sejarah ialah antara mata pelajaran teras untuk membentuk jati diri warganegara dan perpaduan,” katanya.



Terdahulu, organisasi Cina, Hua Zhong dilaporkan bertemu dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mendesak kerajaan untuk mengiktiraf UEC.

Menurut laporan Sin Chew Daily, pertemuan yang diketuai Tan Sri Goh Tian Chuan itu telah menyerahkan 15 tuntutan berkenaan ekonomi, politik dan pendidikan kepada Perdana Menteri, pada masa sama menggesa kerajaan mengiktiraf sijil UEC SMPC.

Goh Tian Chuan yang juga Pengerusi Dewan Perhimpunan Cina Sabah mendakwa, SMPC dan UEC berasal dari Malaysia dan mendapat pengiktirafan berterusan daripada banyak kerajaan serta kolej di seluruh dunia, yang memberi peluang kepada lepasannya melanjutkan pengajian ke luar negara.

Laporan Sin Chew Daily itu turut mendakwa kononnya Muhyiddin berharap bahawa UEC akhirnya diiktiraf, namun akui bahawa ianya sukar dilakukan.



Bagaimanapun, Pejabat Perdana Menteri hari ini menjelaskan bahawa Muhyiddin tidak menyatakan kerajaan akan mengiktitaf sijil berkenaan, sebaliknya menegaskan UEC perlu mengikut Dasar Pendidikan Kebangsaan jika mahu dipertimbangkan penyelesaiannya pada masa hadapan.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker