Tun M tubuh parti baharu atau sertai Warisan diketahui selepas 7 Ogos ini

Keputusan kumpulan bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menubuhkan parti baharu atau menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan) hanya akan diputuskan selepas 7 Ogos ini.

Bekas Setiausaha Agung Bersatu, Senator Datuk Marzuki Yahya berkata, sebarang ketetapan hanya akan dibuat selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan sama ada membenarkan permohonan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membatalkan saman oleh Dr Mahathir dan empat yang lain berhubung tindakan pemberhentian keahlian mereka daripada parti.

Keputusan berhubung permohonan itu akan diketahui pada 7 Ogos depan.

“Kita menyambut baik cadangan Warisan tetapi buat masa ini tiada sebarang keputusan lagi.

“Jika keputusan mahkamah tidak memihak kepada kita kemungkinan akan adakan platform baharu iaitu kemungkinan besar parti baharu atau kita berbincang juga dengan Warisan.

“Bagaimanapun Warisan ialah sebahagian daripada gabungan kita bersama dengan Tun Mahathir di dalam gabungan bebas,” katanya seperti yang dilaporkan portal Malaysiakini hari ini.

Katanya, pemecatan dan perlucutan jawatan Dr Mahathir bersama yang lain tidak mengikut perlembagaan parti.

“Bersatu telah hilang hala tuju yang sebenar dan kesemua pengasas parti yang menyatakan kebenaran semua diambil tindakan. Maka ini menampakkan Bersatu ini telah ‘dihijack’ oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Maka sebab itu kita beranggapan bahawa perlu untuk kita ada platform baharu sama ada parti baharu atau kita bersama-sama dengan Warisan,” katanya.

Sementara itu, bagi mengulas sokongan terhadap parti baharu yang kemungkinan bakal diwujudkan itu, Marzuki berkata, akar umbi Bersatu masih bersama kumpulan mereka.

“Setakat hari ini akar umbi Bersatu yang bersama-sama dari awal penubuhan masih bersama dengan kita dan mereka menyatakan sokongan penuh,” katanya.

Dalam pada itu, bagi mengulas perjalanan kempen ‘blackout’ yang sedang bergerak ketika ini, Marzuki berkata, program seterusnya dijangka akan berlangsung sama ada di Perak atau di Selangor.

“Kempen black out ini untuk kita menyatakan ketidaksokongan terhadap apa yang dilakukan oleh kepimpinan parti, terutama bekerjasama dengan UMNO dan Pas.

“Bagaimanapun, kita belum putuskan lagi (di mana program seterusnya), kemungkinan kita akan adakan di Perak atau Selangor dan kemungkinan besar di Melaka,” katanya. Sinar

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker