Pasukan Azmin karam tanpa layar, dakwa Amanah Johor

Pasukan Azmin karam tanpa layar, mahu bertanding atas tiket apa?

Pasukan Azmin yang sebelum ini membuat gerakan untuk keluar dari PKR dan bersama-sama menyokong kepimpinan Perikatan Nasional (PN) dilihat seperti kapal yang karam tanpa layar.

Naib Pengerusi AMANAH Johor, Abdul Hamid Jamah berkata, kem bekas Timbalan Presiden PKR itu pastinya akan ketinggalan untuk membuat gerak kerja mempromosikan diri mereka selepas kini dilihat tidak berparti.

Jelasnya, kem Azmin perlu sedar bahawa mereka hanyalah alat oleh rakan dalam komponen PN bagi keberlangsungan pentadbirann PN di negara ini.

“Pasukan Azmin pastinya tersepit kerana mereka tidak tahu ke mana hala tuju politik mereka untuk dibawa kepada rakyat.

“Kini mereka ibarat kapal yang karam tanpa layar. Lihat saja program-program yang mereka buat, ia tidak mendapat sokongan daripada kerajaan negeri dan hanya mereka menggunakan penama sebagai ‘menteri’ atau jawatan di dalam kerajaan sahaja,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Abdul Hamid menegaskan asas pemilihan pemimpin di negara ini umumnya berpandukan kepartian tetapi pasukan Azmin tiada parti diwakili mereka lagi.

“Atas ‘platform’ apa yang mereka mahu gerakan agenda mereka. Pasukan Azmin juga dilihat tidak ada asas dalam membawa agenda rakyat.

“Padahal, pasukan itu sendiri rapuh kerana tidak ada kesatuan membentuk sebuah pasukan yang berdaftar secara sah,” katanya.

Laluan mudah

Abdul Hamid yang merupakan Ketua AMANAH Kawasan Batu Pahat berkata, sekiranya PRU diadakan pastinya parlimen tersebut menjadi rebutan pelbagai parti dalam komponen PN termasuk kem Azmin.

“Sekarang ini di Parlimen Batu Pahat ia disandang oleh Ahli Parlimen yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat iaitu Datuk Rashid Hasnon.

“Pastinya pada PRU yang akan datang Datuk Rashid yang merupakan pasukan Azmin nak bertanding atas tiket apa?

“Adakah Umno ataupun Pas akan memberikan laluan mudah kepada Datuk Rashid untuk mempertahankan kerusi berkenaan dan dalam pada masa yang sama beliau tidak berparti?” soalnya.

Sehubungan itu, beliau berpendapat pasukan Azmin jelas semakin terdesak untuk terus mencatur karier atau masa depan politik mereka.

“Pasukan Azmin ini akhirnya akan terus karam dan tenggelam dengan arus kekuatan rakannya sekiranya percaturan pasukan tersebut lambat membuat tindakan,” tambahnya lagi.

Dalam masa sama, Abdul Hamid turut memberitahu PH di Batu Pahat sudah bersedia bagi melawan sesiapa sahaja dari PN dalam usaha mempertahankan suara rakyat di kerusi parlimen tersebut. MalaysiaDateline

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker