“Luluh hati saya…tetapi kami akan lukis lagi besar!”

“Luluh hati bila melihat hasil usaha keras kami menjadi mangsa vandalisme seperti ini.

“Bagaimanapun mereka yang buat (kerja) ini kena ingat, benda ini tidak akan sama sekali mematahkan semangat kami untuk terus melukis di masa hadapan, malah kami kami akan buat (lukis) lagi besar kalau diberikan peluang!”

Itulah luahan hati Muhammad Suhaimi Ali, salah seorang pelukis yang mural gergasi pemimpin negara kepada MalaysiaGazette.

Beliau merupakan salah seorang pelukis yang melakar mural pemimpin negara termasuk potret Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12 dekat Shah Alam.

Dua lagi rakannya ialah Muhamad Firdaus Nordin dan Abdul Hadi Ramli turut terlibat menghasilkan lukisan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Mereka mengambil masa dua minggu untuk menyiapkan lima potret mural berkenaan.

Malah Sultan Abdullah bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah baru-baru ini turut berkenan berangkat melawat mural gergasi.

Pagi tadi Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berkata, beliau dimaklumkan oleh beberapa penduduk berdekat mengenai perbuatan vandalisma berkenaan.

Katanya, beliau terkejut kerana baharu semalam Datuk Seri Ismail Sabri melawat mural gergasi yang memaparkan pemimpin negara termasuk potret beliau di Taman Cahaya Alam.

Bercakap kepada MalaysiaGazette, Muhammad Suhaimi menyerahkan kes tersebut untuk disiasat lebih lanjut oleh pihak berkuasa.

“Sebenarnya kalau ada perbezaan pandangan khususnya daripada segi pemikiran atau politik sekali pun, kita tidak boleh menjadikan karya seni seperti mana mural yang kami lukis itu sebagai ‘mangsa’.

“Saya difahamkan ada kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tersebut, justeru saya percaya pihak polis akan menyiasat dan mengheret dalang kes ini ke muka pengadilan.

“Boleh sahaja kalau hendak ‘touch up’ kerosakan itu tetapi saya bersetuju agar dinding itu dicat semula dengan cat putih oleh pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

“Ini kerana kerosakan yang dilakukan benar-benar menjatuhkan maruah Tuanku dan pemimpin-pemimpin lain yang kami paparkan itu,” ujarnya lanjut. – Malaysia Gazette

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker