Saya tak kata kerajaan akan iktiraf UEC – Muhyiddin

Muhyiddin tak kata kerajaan akan iktiraf UEC

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin tidak pernah memberikan sebarang komitmen yang kerajaan pimpinannya akan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dalam pertemuannya dengan pimpinan Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong) baru-baru ini.

Sebaliknya, Pejabat Perdana Menteri berkata, Muhyiddin hanya menyebut UEC sudah mendapat pengiktirafan sebahagian, apabila kerajaan terdahulu menerima lepasan UEC untuk mengikuti sebuah program ijazah perguruan dalam bidang pengkhususan bahasa Cina di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

“Kerajaan pada 2012 menerima lepasan UEC untuk mengikuti program ijazah sarjana muda perguruan dalam bahasa Cina dengan syarat mereka lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan memperolehi sekurang-kurangnya gred kepujian dalam bahasa Melayu.

“Perdana menteri turut menegaskan UEC perlu mengikut Dasar Pendidikan Kebangsaan, sekiranya mahu dipertimbangkan penyelesaiannya oleh kerajaan pada masa depan,” kata Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini.

Isu itu timbul selepas Hua Zong dilaporkan mendakwa Muhyiddin secara peribadi berharap UEC akan diiktiraf suatu hari nanti, dalam pertemuan pada 16 Julai lalu.

Gabungan itu turut dilaporkan mendakwa Muhyiddin menyuarakan kesanggupan kerajaan berunding dengan mereka dan pertubuhan lain mengenai isu UEC.

Pengiktirafan UEC antara perkara yang dijanjikan dalam manifeso Pakatan Harapan untuk pilihan raya umum ke-14 lalu.

UEC ialah peperiksaan seragam untuk pelajar di 60 sekolah menengah Cina di seluruh negara sejak 1975, dengan sukatan pelajarannya dibangunkan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), apabila sekolah Cina enggan menerima pakai bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Lepasan UEC tidak boleh melanjutkan pelajaran di universiti kerajaan dan bekerja di sektor awam negara ini kerana ia tidak diiktiraf kerajaan persekutuan.

Bagaimanapun, kerajaan Sarawak mengiktiraf sijil itu yang bermakna lepasan UEC boleh mencari pekerjaan dalam sektor awam negeri, memasuki kolej dan universiti milik negeri serta memohon pinjaman pendidikan Yayasan Sarawak.

Selangor turut menerima kemasukan lepasan UEC ke universiti milik negeri, manakala Pulau Pinang pula mengambil lepasan UEC bekerja dengan syarikat milik kerajaan negeri. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker