Muhyiddin penting politik berbanding prinsip, kata Dr M

Sebaran :

Dr Mahathir Mohamad mendakwa Muhyiddin Yassin ada memberitahu bahawa beliau sanggup bekerjasama dengan musuhnya, Najib Razak dan sekutu untuk tujuan politik yang membolehkannya dilantik perdana menteri.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, Muhyiddin menawarkan diri untuk menjadi pengganti beliau apabila menyedari dirinya tidak berminat menjalin kerjasama dengan Umno dan PAS yang dianggotai pemimpin seperti Najib bagi menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Saya tanya Muhyiddin berkali-kali, ‘adakah awak sanggup (bekerjasama dengan musuh)? Dulu awak berperang dengan mereka. Dia jawab saya sanggup kerana bagi saya politik lebih utama berbanding prinsip’.

“Perjuangan lama boleh lupa kerana (melalui) politik, kita ada peluang jadi PM,” katanya ketika berucap pada program “Bersatu Blackout” di Alor Setar, Kedah yang turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook malam tadi.

Ia diadakan sebagai tanda protes terhadap pengguguran keahlian Mahathir, Mukhriz Mahathir, Amiruddin Hamzah, Maszlee Malik dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berikutan keengganan mereka duduk di blok kerajaan ketika persidangan Parlimen pada 18 Mei lalu.

Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-8 pada 1 Mac lalu selepas negara berdepan kemelut kepemimpinan politik susulan peletakkan jawatan Mahathir pada 24 Februari yang turut menyaksikan kerajaan PH hilang kuasa dan digantikan oleh gabungan politik baru, Perikatan Nasional (PN).

Mahathir turut mengambil peluang pada platform itu untuk menjelaskan bahawa beliau terpaksa meletak jawatan perdana menteri selepas PPBM mengambil keputusan untuk keluar daripada gabungan PH.

“Ia bermakna kami semua tidak lagi menjadi anggota kerajaan. Saya terpaksa menulis kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa saya bukan lagi PM, saya minta izin untuk lepaskan, namun Agong minta saya jadi PM sementara.

“Tidak benar saya letak jawatan, saya terpaksa digugurkan kerana PPBM keluar PH dan PH tidak lagi jadi kerajaan,” katanya.

Beliau juga mendakwa rakyat kini tidak senang dengan pentadbiran Muhyiddin sebagai perdana menteri, terutama ketika negara berdepan pandemik Covid-19 yang menyaksikan banyak pihak menerima kesan, antaranya kehilangan pekerjaan dan pendapatan.

Beliau berkata, Malaysia bernasib baik kerana pengurusan pandemik itu dan kesannya kepada persekitaran dibuat oleh golongan profesional, bukan sepenuhnya oleh ahli politik.

“Apabila kita halang orang keluar rumah, mereka tidak dapat bekerja dan berniaga. Kadang-kala kebuluran. Ramai daripada kita ini cari makan secara harian, iaitu kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

“Ini berlaku sekarang, ramai rakyat jadi miskin dan segala bidang kerja tidak boleh dilakukan. Untuk mengatasinya, kita perlu pakar bijak dalam bidang ini,” katanya. FMT


Sebaran :

Leave a Reply