Cegah gelombang kedua, KKM fokus kempen ‘Elak Sembang Dekat’ – Adham Baba



Sebaran :

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini sedang giat memberikan tumpuan kepada kempen ‘Elak Sembang Dekat’ dalam usaha mengekang gelombang kedua wabak COVID-19 di negara ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Menurut Dr Adham, inisiatif yang dijalankan itu merupakan antara langkah yang dihebahkan kepada orang ramai selain pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial.

“Salah satu teguran untuk kita mengelak COVID-19 ialah sembang jarak dekat kerana penjarakan selamat untuk droplet sampai ke individu lain ialah lebih kurang satu meter.



“Kemungkinan untuk sampai ke tubuh lebih mudah dan pantas dan tidak boleh disekat kalau mereka ada COVID-19 atau gejala,” katanya kepada wartawan selepas menandatangani dokumen penyerahan projek pembinaan Klinik Kesihatan (Jenis 3) dan Kuarters Kuala Kangsar pada Sabtu.

Dalam pada itu, ketika mengulas lanjut mengenai keputusan pemakaian pelitup muka tidak diwajibkan di sekolah, Dr Adham berkata pihaknya menggalakkan para pelajar yang mampu untuk memakai pelitup muka.

Bagaimanapun katanya, aspek penting dalam kalangan pelajar sekolah adalah penjarakan sosial.



“Kita masih galakkan sekiranya mereka berupaya untuk memakainya kerana ini merupakan salah satu daripada cara untuk kita menangani atau menghalang penularan wabak.

“Sekiranya mereka tidak dapat pakai kita tidak ada masalah tetapi penjarakan sosial itu adalah perkara utama,” katanya lagi.

Tambah beliau, pihak sekolah juga telah bersetuju bagi menyusun dan melaksanakan kaedah-kaedah yang digariskan oleh KKM, termasuk pemakaian pelitup muka. Awani




Sebaran :


Leave a Reply