Budak perempuan kahwin dua lelaki dalam sebulan

NAIROBI – Sebuah pertubuhan hak kanak-kanak dan pegawai kerajaan di Kenya menyelamatkan seorang budak perempuan berumur 12 tahun yang berkahwin dengan dua lelaki secara berasingan dalam tempoh sebulan.

Menurut portal berita Fox News pada 16 Julai lalu, bapa budak perempuan itu di daerah Narok, barat Nairobi memaksanya berkahwin dengan seorang lelaki berusia 51 tahun.

Bapa budak itu kemudian memaksanya dia mendirikan rumah tangga dengan seorang lagi lelaki berumur 35 tahun.

“Saya tidak mengenalinya (lelaki berumur 35 tahun) dan saya tidak mencintainya. Saya beritahu keluarga saya bahawa saya tidak mahu lelaki tersebut.

“Namun, bapa saya memberitahu pemuda itu boleh memberikan kita makan dan sebab itulah saya dikahwinkan dengannya,” kata budak perempuan tersebut yang belajar di darjah enam Sekolah Rendah Enkare-Nairowua di daerah Narok kepada portal berita The Standard.

Perkahwinan pertamanya dengan lelaki berusia 51 tahun bertahan hanya dua minggu.

Budak perempuan itu yang bercita-cita mahu menjadi doktor memberitahu bahawa suaminya itu terlalu tua dan lebih buruk dia menjadi isteri kedua.

Dia kemudian melarikan diri daripada suami yang pertama sebelum dipaksa berkahwin dengan lelaki berumur 35 tahun.

Sementara itu, Joshua Kaputah daripada Persatuan Keamanan Daerah Narok berkata, pihaknya mendapat maklumat daripada orang awam tentang seorang budak perempuan berkahwin dengan dua orang lelaki.

“Kami menjejakinya selama tiga hari dan berjaya menyelamatkannya,” katanya.

Menurutnya, polis sedang memburu bapa budak perempuan itu dan dua lelaki yang menjadi suaminya.

Ujarnya, kesemua mereka dipercayai sedang menyembunyikan diri. – Sinar

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker