Suami ditahan pukul isteri hamil tujuh bulan

Seorang penjaga stor ditahan selepas disyaki memukul isterinya yang sarat hamil lebih tujuh bulan, akibat perselisihan faham di sebuah apartmen di Bandar Country Homes Rawang, dekat sini, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata lelaki berumur 26 tahun itu ditahan kira-kira 12.30 tengah hari di Rawang dan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira 11 pagi semalam, mangsa ditumbuk dan perutnya ditekan dengan lutut oleh suspek selepas berlaku perselisihan faham mengenai hal keluarga.

“Mangsa yang berusia 29 tahun dibawa ke hospital sebelum membuat laporan polis. Mangsa kini berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang lelaki berumur 30 tahun ditahan selepas memukul dan mengugut isterinya menggunakan sebilah parang di Taman Samudera, Gombak, petang semalam.

Arifai berkata, suspek yang bekerja sebagai pembekal makanan ditahan bersama sebilah parang yang disyaki digunakan untuk mengugut mangsa di Gombak kira-kira 5 petang.

Menurutnya, dalam kejadian 7 malam Rabu lepas itu, mangsa yang berusia 30 tahun membuat laporan polis selepas suaminya bertidak kasar, mengacu parang ke lehernya selain merampas telefon bimbitnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga.

Dalam perkembangan lain, Arifai berkata seorang peniaga berumur 41 tahun ditahan selepas disyaki mengugut dan bertindak kasar terhadap rakan jirannya kerana tidak berpuas hati mangsa meletakkan kereta di kawasan kediamannya (suspek) di Taman Selayang Jaya, Gombak, awal pagi tadi.

Menurutnya, dalam kejadian 3 pagi itu, mangsa lelaki berusia 26 tahun bengkak pada bahagian hidung dan pipi selepas ditumbuk suspek yang marah disebabkan pagarnya tidak dapat dibuka kerana dihalang kenderaan mangsa.

Mangsa kemudian membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan 506 Kanun Keseksaan.

BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker