Najib cabar DAP serah notis kepada TPM UAE ambil alih kapal layar mewah

Najib Razak mencabar 2 pemimpin DAP supaya menyerahkan notis pengambilalihan kapal layar mewah “Topaz” yang dibeli dengan dana dikaitkan dengan 1MDB kepada timbalan perdana menteri Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Ini selepas setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng dan setiausaha publisiti parti itu, Tony Pua menuntut supaya Putrajaya merampas kapal layar bernilai AS$688 juta itu.

Bagaimanapun Najib berkata mereka “tidak berani” memberitahu orang ramai daripada siapa mereka mahu kerajaan merampas kapal layar tersebut.

Katanya, mereka juga tidak berani memberitahu siapakah yang didakwa menyalahgunakan wang 1MDB untuk membayar kapal layar itu.

Bekas perdana menteri itu berkata, DoJ dengan jelas menyatakan kapal layar itu dimiliki oleh Sheikh Mansour bin Zayed Al Nahyan, pengerusi International Petroleum Investment Co (IPIC).

Sheikh Mansour juga anggota keluarga diraja Abu Dhabi dan pemilik kelab bola sepak Manchester City. Beliau adalah abang tiri presiden UAE sekarang.

“Saya mahu lihat Guan Eng dan Tony dihantar untuk menyerahkan notis pengambilalihan kapal layar kepadanya,” katanya dalam catatan Facebook, malam ini.

Baru-baru ini, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) mengesahkan “Topaz” dibeli dengan dana dikaitkan dengan 1MDB.

Akhbar Singapura Straits Times (ST) melaporkan DoJ mengesahkan kapal layar itu, yang kini dikenali sebagai A+, dibeli menggunakan dana dikaitkan dengan 1MDB.

Bagaimanapun, tidak dinyatakan jika DoJ akan memohon untuk kapal layar itu dijadikan sebahagian usahanya dalam merampas aset 1MDB.

Najib mendesak Lim dan Pua menjelaskan kepada penyokong mereka mengapa mereka mendakwa beliau mencuri wang 1MDB, sedangkan orang yang membeli dan memiliki kapal layar mewah itu adalah individu dari negara lain.

Ahli Parlimen Pekan itu turut menuduh kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengabaikan kerugian yang ditanggung disebabkan penjualan kapal layar mewah, “Equanimity” yang dilaporkan dibeli dengan dana 1MDB sebelum.

Kerajaan sebelum ini menjual kapal layar itu dengan harga AS$125 juta, walaupun kos asalnya ialah AS$250 juta, menyebabkan kerajaan kerugian sehingga AS$125 juta.

Najib berkata, inilah sebabnya kerajaan pimpinannya dahulu menandatangani perjanjian penyelesaian dengan kerajaan Abu Dhabi pada 2017 untuk memberi mereka masa hingga 31 Disember tahun ini untuk mengembalikan setiap sen yang “disyaki hilang daripada 1MDB”.

Bagaimanapun, kerajaan PH sengaja cuba membatalkan perjanjian itu dengan menyaman kerajaan Abu Dhabi di Mahkamah Tinggi London.

Katanya, dengan berbuat demikian kerajaan PH mahu mengubah status wang 1MDB daripada “menunggu untuk dilunaskan” menjadi “hilang”, walaupun pada hakikatnya ia bermaksud Malaysia akan mendapat jumlah wang jauh lebih rendah berbanding dengan jumlah yang dapat dikembalikan berdasarkan perjanjian penyelesaian.

“Keutamaan mereka bukan untuk kepentingan negara melainkan menganiaya saya dan Barisan Nasional (BN).

“Jika perjanjian penyelesaian dipersetujui dan semua wang diperoleh semula berdasarkan perjanjian penyelesaian maka kerajaan PH tidak akan dapat menuduh saya di mahkamah,” katanya. FMT

Leave a Reply