Muhyiddin gesa rakyat berbelanja untuk bantu pulih ekonomi negara

Muhyiddin Yassin menggesa rakyat “Berbelanjalah untuk Malaysia” bagi membantu memulihkan ekonomi negara yang terjejas akibat penularan Covid-19.

Perdana menteri meminta rakyat memilih barangan dan perkhidmatan tempatan, seperti pelancongan, kesihatan serta logistik untuk membantu meningkatkan ekonomi negara.

“Meskipun sempadan negara masih tidak dibenarkan dibuka, kita yakin sepenuhnya pelancongan domestik akan menyumbang kepada fasa pemulihan ekonomi negara.

“Dengan berbelanja, kesan penggandaan dalam ekonomi akan dapat dipertingkatkan, mewujudkan peluang pekerjaan dan seterusnya menambah hasil pendapatan rakyat,” katanya berucap merasmikan Majlis Pelancaran Jualan Mega dan Kempen Beli Barangan Malaysia di KLCC hari ini.



Beliau berkata, kerajaan terus memberi perhatian terhadap produk keluaran tempatan, termasuk penyediaan insentif kepada perniagaan tempatan untuk membina keupayaan meningkatkan kualiti dan pembungkusan barangan.

Katanya, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) akan terus meningkatkan pemasaran produk dan perkhidmatan tempatan ke pasaran antarabangsa melalui pameran perdagangan serta padanan perniagaan secara maya.

“Menerusi platform e-dagang antarabangsa, usahawan berpeluang meneroka pasaran baru di luar negara dengan lebih efisien dan kos efektif.”

Muhyiddin berkata, lebih 37 kementerian dan agensi kerajaan turut berusaha mengembangkan aktiviti e-dagang dalam negara menerusi Pelan Strategik Hala Tuju e-dagang Kebangsaan.



“Ini termasuk memberikan latihan kepada 322,834 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta peruncit menggunakan platform e-dagang untuk memasar dan mengeksport produk keluaran Malaysia sejak 2016.

“Hikmah di sebalik pandemik Covid-19, kebanyakan komuniti perniagaan beralih kepada penggunaan teknologi digital dengan lebih meluas. Dalam 6 bulan pertama tahun ini, sebanyak 79,274 PKS dilaporkan memanfaatkan platform e-dagang. Jumlah ini melebihi sasaran kerajaan untuk melatih 50,000 PKS dalam setahun.”

Beliau berkata, statistik Jabatan Perangkaan menunjukkan jualan runcit dalam talian meningkat 39.3% Mei lalu berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Aktiviti e-dagang juga melonjak sebanyak 9.3% berbanding April 2020.”



Katanya, beberapa tahun ini, nilai jualan produk PKS di pasar raya dan pasar raya besar mencecah RM667 juta pada 2019, melonjak 307.6% berbanding 2015.

Beliau sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada semua petugas barisan depan kesihatan dan sektor lain yang berusaha mengekang penularan Covid-19 serta menyumbang kepada pelan pemulihan ekonomi negara.

“Saya yakin ‘frontliners’ sektor ekonomi seperti pengilang, pengedar, penyedia perkhidmatan dan peruncit akan dapat bersama kerajaan memastikan usaha kita ini berjaya dan mengurangkan impak negatif ekonomi pasca perintah kawalan pergerakan.”. FMT



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker