Azmin berpotensi khianati Muafakat Nasional, kata AMK

Share

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berpotensi mengkhianati Muafakat Nasional yang terdiri daripada Umno dan PAS, kata Naib Ketua Pemuda PKR (AMK), Syed Badli Shah Syed Osman.

Dalam satu kenyataan, Syed Badli berkata, beliau menyambut baik kritikan Umno dan PAS Gombak terhadap Azmin yang didakwa mengenepikan Muafakat Nasional di Selangor.

“Beliau juga berpotensi untuk mengkhianati Muafakat Nasional kerana Azmin mempunyai sejarah mengkhianati rakan seperjuangan.

“Justeru itu langkah yang diambil Umno dan Pas kawasan Gombak adalah tepat dan saya menegaskan sekali lagi bahawa mandat tersebut perlu dipulangkan kembali kepada rakyat Gombak,” katanya.

Terdahulu, sebuah portal melaporkan Menteri Kanan (Kluster Ekonomi) itu dikritik kerana didakwa cuba membelakangkan Umno dan PAS di Selangor dengan tidak melibatkan mereka dalam mesyuarat penyelarasan pembangunan peringkat daerah dan negeri itu.

Kritikan itu disuarakan oleh Yang di-Pertua PAS dan Ketua Umno Gombak, yang mana Azmin adalah anggota parlimennya.

Yang di-Pertua PAS Gombak, Salehuddin Mohd Nasir berkata tindakan Azmin itu seolah-olah menunjukkan terdapat usaha untuk mengetepikan Muafakat Nasional di Selangor.

“Saya perasan ada gerakan yang halus dan saya pun tidak tahu, Azmin ini parti apa. Dia bergerak sebagai (parti) apa?,” katanya dalam satu temubual.

Ketua Umno Gombak Megat Zulkarnain Omardin pula berkata tindakan Azmin sebagai pelik dan menyifatkannya sebagai keliru sama ada bersama Perikatan Nasional (PN) atau masih dengan PH.

‘Azmin dah tak relevan’

Untk rekod, Azmin pada penghujung Februari lalu terlibat dalam satu gerakan untuk menubuhkan sebuah kerajaan baru melalui satu pertemuan di sebuah hotel di Petaling Jaya bersama sekumpulan pemimpin parti politik, termasuk Umno dan PAS.

Krisis politik yang berlarutan selama seminggu ini menyaksikan perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan dan Bersatu mengumumkan keluar daripada Pakatan Harapan (PH) yang menjadi kerajaan.

Krisis itu berakhir apabila Muhyiddin Yassin dilantik sebagai perdana menteri dan menubuhkan sebuah kerajaan baru yang dinamakan Perikatan Nasional bersama Umno, PAS dan beberapa parti dari Sabah dan Sarawak.

Azmin yang meninggalkan PKR untuk menyertai Bersatu, kemudian dilantik sebagai menteri kabinet oleh Muhyiddin.

Sementara itu, Syed Badli menyifatkan Azmin sudah tidak relevan lagi dalam arena politik tanah air.

“Azmin sudah tidak relevan lagi berada di kerusi Parlimen Gombak dan DUN Bukit Antarabangsa. Bahkan beliau sudah tidak relevan untuk terus berada di arena politik negara.

“Azmin seharusnya mengosongkan kerusi Parlimen Gombak dan DUN Bukit Antarabangsa untuk dipulangkan kembali kepada rakyat,” katanya. Mkini

Leave a Reply