ADUN Chini sambung belajar peringkat ijazah

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Mohd Sharim Md Zain hari ini mengesahkan beliau bakal memulakan pengajian Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Bachelor of Communication with Honors) di Open University Malaysia (OUM) pada September nanti.

Mohd Sharim berkata, beliau telah menerima surat tawaran tersebut semalam dan memilih daerah Kuantan sebagai pusat pembelajaran.

“Alhamdulillah saya akan memulakan pengajian September nanti di kampus Kuantan. Dalam tempoh empat tahun dijangka tamat pengajian dan saya harap dapat memperoleh ijazah kepujian.

“Tujuan saya menduduki pengajian adalah untuk memperbaiki pencapaian diri khususnya dari segi pengucapan awam dan komunikasi di samping ilmu-ilmu lain selaku graduan. Saya dah jadi wakil rakyat jadi saya tak mahu hal pendidikan saya dijadikan isu atau ukuran.

“Saya juga harap dapat menjadi contoh dan tauladan kepada anak muda bahawa usia bukan halangan untuk menyambung pelajaran,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, pemilihan OUM dibuat kerana fleksibiliti universiti tersebut yang menawarkan kursus jarak jauh serta mekanisme pembelajaran dalam talian.

“Hal ini akan memudahkan saya untuk memberi fokus antara tugas selaku wakil rakyat dan pelajaran yang mana kelas cuma pada Sabtu dan Ahad manakala hari lain menerusi dalam talian,” katanya.

Pada 4 Julai lalu, Mohd Sharim, 41, memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini dengan memperoleh majoriti 12,650.

Mohd Sharim memperoleh 13,872 undi manakala calon Bebas, Datuk Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, beroleh 1,222 undi dan seorang lagi calon Bebas, Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, hanya mendapat 137 undi. Sinar

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker