Rasa alergik, komen rasis hina Jawi lukakan hati orang Melayu

Share

Selama ini Melayu hormat kaum lain, mengapa rasa itu tak berbalik

BANGI, 25 Zulkaedah 1441H, Jumaat – Kerajaan mesti tegas mempertahankan keputusan Kabinet berhubung pelaksanaan Hari Jawi, meskipun terdapat suara-suara sumbang yang mempertikaikannya.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, dasar ini jelas iaitu untuk memperkasa dan memartabatkan tulisan Jawi sebagai sebahagian daripada tamadun orang Melayu.

Justeru, tegasnya, adalah tidak wajar orang bukan Melayu berasa takut atau bimbang dengan pelaksanaannya kerana ia bukanlah suatu usaha untuk menghapuskan tulisan kaum lain.


“Kenapa segelintir bukan Melayu begitu alergik dengan tulisan Jawi? Jawi dikaitkan dengan agama. Belajar Jawi umpama suruh orang lain masuk Islam.

“Sedangkan Jawi adalah tamadun orang Melayu. Ia adalah tulisan bahasa Melayu selama hampir seribu tahun sebelum tulisan Rumi diterima sebagai tulisan rasmi bahasa kebangsaan.

“Sebab itu orang Melayu bangga, mereka satu satunya bangsa yang memiliki dua tulisan iaitu Rumi dan Jawi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Mengulas lanjut, beliau berkata, amat memedihkan hati orang Melayu apabila tulisan Jawi dihina.

“Ada yang mengatakan kita akan kembali ke zaman naik unta. Ada menuduh kita mahu meng-Arabkan Malaysia. Ada yang biadap mencadangkan supaya ‘Hari Jumaat sebagai Hari Makan Babi’.

“Seorang netizen menyindir iaitu pada hari Jumaat dia akan makan babi, minum arak sambil menulis Jawi. Begitu rasis sekali komen mereka.


“Sepatutnya budaya dan tamadun Melayu ini dihormati. Sebagaimana orang Melayu menghormati budaya dan tulisan kaum lain,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Puad turut mengucapkan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana berjaya menahan dua individu yang memperlekehkan Hari Jawi.

Kelmarin, Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, tangkapan itu dilakukan di dua lokasi berbeza.

Kedua-dua lelaki berusia 25 dan 35 tahun itu ditahan di Tanjung Rambutan, Perak dan Butterworth, Pulau Pinang.

Katanya, mereka akan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi 1998.

Leave a Reply