Nurflix tayang 12 drama, filem bercirikan Islam mulai Oktober ini

Share

Nurflix, saluran penstriman patuh syariah pertama di Malaysia, bakal menayangkan 12 drama dan filem eksklusif tempatan bercirikan Islam mulai Oktober ini.

Pengerusi Nurflix Datuk Seri Syed Zainal Abidin Mohd Tahir berkata untuk tiga bulan sehingga Disember ini, siaran itu adalah percuma.

“Ini bagi membolehkan Nurflix mendapatkan maklumat balas sekali gus menambah baik khidmat dan menetapkan harga langganan pada kadar mampu,” katanya yang menyasarkan siaran berbayar mula dilanggan pada Januari 2021.


Beliau berkata demikian pada sidang media majlis pelancaran The Nurflix Initiative di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong dekat sini, semalam dan disiarkan menerusi akaun Facebook Nurflix.tv.

Terdahulu semasa majlis pelancaran, Ketua Pengawai Eksekutif Nurflix Syah Mohamed berkata 12 drama dan filem yang dibintangi barisan pelakon popular tanah air itu adalah karya asli yang eksklusif untuk Nurflix.

“Istimewanya Nurflix ini ialah bayaran royalti tidak terhad kepada pengkarya, tetapi akan turut dibayar kepada barisan pelakon terlibat.


“Sebab itu kita juga akan wujudkan Akademi Nurflix yang akan bertanggungjawab mencari dan melahirkan bakat-bakat baharu seni bercirikan Islam,” katanya yang menyasarkan penghasilan 1,000 tajuk dalam tempoh lima tahun.

Sementara itu, jurucakap Nurflix Uthman Daud ketika dihubungi Bernama hari ini menjelaskan kandungan Nurflix akan diselia dan dipantau badan penasihat khas dipanggil Nurpath yang diterajui oleh pendakwah terkenal Habib Ali Zainal Abidin selaku penasihat.

Panel ini akan bertanggungjawab memastikan pihak produksi mematuhi sepenuhnya piawaian syariah sama ada dari segi skrip mahupun aksi lakonan, katanya yang dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp.


Pada masa ini, platform TV Internet Nurflix yang dibangunkan oleh Sutera Hijau Ventures Berhad boleh diakses menerusi laman sesawang Nurflix.tv, sementara aplikasi mudah alih akan dilancarkan tidak lama lagi, kata Uthman.

BERNAMA

Leave a Reply