Buat hal? Kedudukan Zuraida dalam bahaya

Share

Kedudukan Zuraida dalam bahaya, kata penganalisis

PETALING JAYA: Langkah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mendesak pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan mungkin “membahayakan” kedudukannya dalam kerajaan.

Penganalisis politik Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, Zuraida meletakkan dirinya dalam keadaan tidak menentu kerana semua parti dalam Perikatan Nasional (PN) menentang idea itu.

Selasa lalu, Zuraida memberitahu Dewan Rakyat kertas untuk pelaksanaan pilihan raya itu akan siap menjelang pertengahan 2021 dan akan dibentangkan di Parlimen jika dipersetujui Kabinet.

Beliau berkata, pilihan raya itu akan memberi kuasa kepada majlis tempatan membuat keputusan dan meningkatkan pendapatan.

Namun, beberapa ahli Parlimen PN menolak cadangan itu dengan Noh Omar daripada Barisan Nasional menjelaskan pilihan raya kerajaan tempatan idea Pakatan Harapan (PH).

Bawah pentadbiran PH, Zuraida adalah ahli PKR dan menteri perumahan dan kerajaan tempatan. Beliau kini disenaraikan di Dewan Rakyat sebagai ahli PPBM, namun katanya belum mengemukakan permohonan untuk menjadi ahli parti itu.

Azmi berkata, penolakan secara terbuka idea itu menunjukkan ia tidak popular dalam gabungan itu dan betapa yakinnya Umno, PAS dan GPS mengenai kedudukan mereka dalam PN.

“Amat mudah bagi ahli Parlimen daripada ketiga-tiga parti itu menentang idea berkenaan, walaupun ia datang daripada menteri, beliau menteri yang pada dasarnya tidak berparti.

“Ia nampak tidak bagus untuk Zuraida apabila penyokong kerajaan menolak ideanya. Ia bukan langkah yang baik untuk desak perkara itu walaupun tahu apa respon Umno dan PAS, yang lantang menentangnya,” katanya.

Azmi berkata, reaksi terhadap idea itu menyerlahkan kedudukan rapuh Zuraida dan bekas pemimpin PKR yang lain dalam PN.

“Mereka perlu berhati-hati,” katanya.

James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania berkata, usaha Zuraida tidak akan berjaya kerana tidak mendapat sokongan PN.

“Dalam kerajaan baru ini, Zuraida dan bekas pemimpin PKR yang lain perlu mengabaikan janji yang mereka buat ketika dalam PH. Sama ada suka atau tidak, mereka perlu ikut dasar PN,” katanya.

Beliau yakin penolakan parti dalam PN terhadap pilihan raya kerajaan tempatan itu disebabkan khuatir akan akibat perkongsian kuasa.

“Jika ahli majlis tempatan dipilih, kuasa naungan politik akan hilang,” katanya.

Sementara itu, Mohd Izani Mohd Zain dari Universiti Putra Malaysia berkata, idea mendesak pilihan raya kerajaan tempatan tidak realistik tetapi Zuraida tidak boleh dipersalahkan kerana kerajaan sekarang tiada manifesto. FMT

Leave a Reply