Top Glove sahkan larangan eksport produk ke AS ada kaitan isu buruh asing

Syarikat pengeluar sarung tangan perubatan terbesar dunia, Top Glove hari ini mengesahkan perintah penahanan terhadap produknya oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP) terhadap 2 anak syarikatnya.

Dua anak syarikat itu, Top Glove Sdn Bhd dan TG Medical Sdn Bhd berdepan larangan eksport produknya ke Amerika Syarikat (AS) kerana dikatakan menggunakan khidmat buruh paksa.

Top Glove bagaimanapun dalam kenyataan berkata, isu berkenaan sudah selesai.

“Terdapat kemungkinan perkara itu berkaitan dengan isu buruh asing. Isu berkenaan kami sudah selesaikan, kecuali 1 isu berkaitan pembayaran balik bayaran pengambilan oleh pekerja kami kepada ejen sebelum Januari 2019, yang berlaku tanpa pengetahuan kami,” katanya dalam kenyataan.

“Namun, Top Glove sudah menanggung semua bayaran pengambilan ketika Dasar Yuran Pengambilan Sifar dilaksanakan.”

Top Glove juga menegaskan pihaknya berusaha untuk membayar balik bayaran pengambilan pekerja asing sejak beberapa bulan lalu, dengan memastikan jumlah yang tepat dibayar semula kepada pekerja bagi pihak ejen sebelum ini.

Syarikat itu menganggarkan jumlah pembayaran balik tersebut sekitar RM20 juta hingga RM50 juta.

Pada September tahun lepas, CBP meletakkan WRP Asia Pacific Sdn Bhd dalam senarai penahanan sama selepas tuduhan produknya dihasilkan oleh buruh paksa.

Perintah berkenaan bagaimanapun dibatalkan pada Mac lalu selepas CBP difahamkan syarikat itu tidak menggunakan buruh paksa dalam penghasilan sarung tangan getah.

Pada Januari, menteri sumber manusia ketika itu, M Kula Segaran memberi amaran syarikat tertentu tidak akan dapat mengeksport produk mereka ke AS sekiranya mereka tidak berusaha memerangi isu buruh paksa. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker