Nisbah Jantina Rakyat Malaysia Kini 106 Lelaki Bagi Setiap 100 Perempuan

Share

Sebelum ini sering saja timbul persoalan tentang jantina manakah yang lebih ramai di negara kita. Adakah lelaki lebih ramai atau pun wanita yang lebih ramai sebenarnya jika dikira mengikut nisbahnya.

Namun, untuk tahun ini persoalan tersebut akhirnya terjawab melalui Penerbitan Anggaran Penduduk Semasa Malaysia 2020 seperti dilaporkan Bernama dan dipetik Harian Metro.

Menurut penerbitan tersebut, nisbah jantina rakyat Malaysia tahun ini adalah berada pada kadar 106 lelaki bagi setiap 100 perempuan dimana jumlah penduduk lelaki di negara ini mencecah sehingga lebih 16 juta.

“Tahun ini jumlah penduduk lelaki di Malaysia melebihi jumlah perempuan dengan masing-masing 16.8 juta dan 15.9 juta iaitu nisbah jantina adalah 106 lelaki bagi setiap 100 perempuan,” kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

INFOGRAFIK PENERBITAN ANGGARAN PENDUDUK SEMASA MALAYSIA 2020

Selain melaporkan nisbah antara jantina, penerbitan tersebut juga menyebut jumlah penduduk Malaysia untuk tahun ini dijangka meningkat kepada 32.7 juta orang walaupun terdapat penurunan kadar pertumbuhan penduduk.

Ini katanya berpunca daripada pengurangan bilangan penduduk bukan warganegara yang selaras dengan penutupan sempadan dan pergerakan pulang warga asing ke negara masing-masing.

“Penurunan kadar pertumbuhan penduduk itu disebabkan pengurangan bilangan penduduk bukan warganegara daripada 3.1 juta tahun lepas kepada 3.0 juta pada 2020.

“Ini selaras penutupan sempadan kita dan pergerakan pulang warga asing ke negara masing-masing berikutan Perintah Kawalan Pergerakan akibat penyebaran pandemik Covid-19 di seluruh dunia,” jelasnya.

Beliau bagaimanapun menjelaskan kadar pertumbuhan warganegara kekal stabil dimana berlaku peningkatan sebanyak 1.1 peratus menjadikan jumlah keseluruhan seramai 29.7 juta penduduk.

Untuk komposisi penduduk pula, negeri Selangor muncul sebagai negeri dengan komposisi penduduk tertinggi dengan merekodkan 20 peratus berbanding Sabah dan Sarawak yang berada di belakang mereka dengan hanya 12 dan 11.6 peratus sahaja.
Vocket

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!