Nasrudin ganti Nik Omar sebagai YDP Yadim

Kontrak jawatan Nik Omar Nik Abdul Aziz selaku yang dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) ditamatkan berkuat kuasa, semalam.

Anak lelaki sulung bekas menteri besar Kelantan itu mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

“Ya betul,” katanya ringkas melalui mesej di aplikasi WhatsApp.

Terdahulu, satu lampiran emel yang ditulis Nik Omar kepada kakitangan Yadim tersebar di media sosial.

Melalui emel tersebut beliau menyatakan bahawa semalam merupakan hari terakhirnya berkhidmat di agensi berkenaan.

Sementara itu, sumber memberitahu kontrak Nik Omar yang bekas calon PH pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) itu sepatutnya hanya tamat hujung tahun ini.

“Kontrak jawatan beliau ditamatkan, sepatutnya secara rasmi jawatan itu sehingga Disember 2020,” kata sumber yang enggan dinamakan.

Sementara itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Zulkifli Mohamad dalam kenyataan hari ini menyatakan posisi Nik Omar itu diganti oleh Anggota Jawatankuasa PAS Pusat, Nasruddin Hassan, berkuat kuasa hari ini.

Selain itu katanya, jawatan pengerusi Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) pula diisi oleh Mohd Redza Shah Abdul Wahid.

“Penghargaan khusus saya zahirkan kepada Dr Daud Bakar dan Nik Omar Nik Abdul Aziz atas sumbangan dan jasa sepanjang berkhidmat. Semoga Allah membalasnya dengan ganjaran setimpal.

⁣”Tahniah saya ucapkan kepada (Datuk) Mohd Redza Shah dan Nasruddin. Saya mengharapkan Yadim dan Yapeim akan terus memacu kecemerlangan untuk ummah,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini. Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker