Kerjasama dengan PAS di persekutuan tidak ancam GPS

Seorang penganalisis politik mengecilkan kebimbangan kerjasama GPS dan PAS di peringkat persekutuan akan menyaksikan parti Islam itu mengukuh di Sarawak dan menjejaskan gabungan pemerintah negeri.

“PAS terlalu fokus pada negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah, dan saya ragui parti itu mengukur peluangnya meraih sokongan di Sarawak yang berbilang kaum dan majoriti penduduknya bukan Islam,” kata Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya.

Beliau berkata di Sarawak, pengundi Bumiputera Islam masih menyokong PBB, tunjang GPS.

“Ini bermakna PAS tidak akan dapat bawa agenda mereka ke Sarawak,” kata Awang Azman, dan menambah PAS juga mungkin tidak bertanding di sana kerana kedua-dua parti komponen gabungan pemerintah.



Sebaliknya, GPS sekarang dalam kedudukan yang lebih baik dalam memastikan hak Sarawak mengikut Perjanjian Malaysia 1963 dihormati berbanding semasa pentadbiran Pakatan Harapan.

Bekas pensyarah Jeniri Amir pula berkata PAS tidak akan dapat memperjuangkan agenda konservatifnya di Sarawak.

“GPS sebahagian daripada kerajaan persekutuan dan boleh bersuara terhadap perkara yang rakyat Sarawak tak boleh terima,” kata bekas ahli akademi Universiti Malaysia Sarawak itu.

Jeniri berkata tiada sebab untuk mana-mana orang bimbang dengan retorik PAS. “Oleh kerana PPBM, BN dan PAS mungkin tidak bertanding di Sarawak, maka kuranglah kebimbangan terhadap pengaruh parti-parti Tanah Melayu,” katanya.



Beliau berkata GPS kini ada perkongsian kuasa yang lebih besar di Putrajaya dan boleh memastikan isu sekitar MA63 dan cuakai jualan ke atas produk petroleum diselesaikan, mengukuhkan kedudukannya di negeri itu.

Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah percaya mereka yang mengaitkan PAS dengan GPS cuba menggambarkan parti Islam itu sebagai momok.

“GPS tiada hubungan langsung atau rasmi dengan PAS. Parti yang ada tandatangan perjanjian dengan PAS tentang Sarawak adalah PKR dan DAP apabila mereka menandatangani Deklarasi Kuching pada 2012,” katanya.

Deklarasi itu, yang ditandatangani pemimpin kebangsaan dan negeri ketiga-tiga parti semasa dalam Pakatan Rakyat, adalah ikrar untuk menghormati semangat MA63.



Lee mendakwa PH semasa ia berkuasa “buli” Sarawak dalam hal peruntukan untuk projek prasarana, termasuk yang melibatkan pembaikan sekolah usang.

“Sekiranya mereka melayan Sarawak dengan baik semasa 22 bulan berkuasa, saya yakin GPS tidak akan menolak cubaan PH mendekatinya untuk membentuk kerajaan persekutuan,” katanya. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker