Kerajaan batal LIMA ’21 Mac tahun depan susulan kesan Covid-19

Share

Penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2021 (LIMA’ 21) yang dijadualkan berlangsung pada 16 Mac sehingga 20 Mac tahun depan dibatalkan.

Kementerian Pertahanan dalam kenyataan berkata, wabak Covid-19 yang melanda dunia ketika ini memberikan impak besar bukan sahaja kepada Malaysia, tetapi juga di seluruh dunia.

“Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan selaku penganjur utama LIMA’21 juga sedar akan impak global Covid-19 yang bukan sahaja dari sudut kesihatan, malah kesan besar terhadap sosial dan ekonomi dunia.

“Sehubungan itu, kerajaan melalui mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Julai lepas memutuskan untuk membatalkan penganjuran LIMA’ 21 berdasarkan impak ekonomi penularan Covid-19,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, impak ekonomi dilihat memberi kesan besar terhadap jumlah penyertaan pempamer dan pelabur dalam acara antarabangsa seperti LIMA’21 dan ia berkait rapat dengan langkah diambil oleh kebanyakan negara untuk menutup sempadan dan menyekat perjalanan ke luar negara.

“Ia adalah bagi mengurangkan risiko penularan wabak berkenaan seterusnya menyukarkan pihak kementerian untuk mencapai sasaran penyertaan yang ditetapkan

“Kekangan masa dalam keadaan mencabar penganjuran acara berskala besar seumpama ini memerlukan tempoh wajar agar dapat dirancang dengan teliti dan terperinci.

“ini termasuk menjalankan aktiviti promosi serta publisiti bagi mendapatkan sasaran penyertaan dan juga memenuhi keperluan pelbagai sektor berkaitan,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Pertahanan berkata, perkara itu sekali gus akan mempengaruhi impak kepada penjenamaan LIMA’21 yang selama ini diklasifikasikan sebagai pameran maritim dan aeroangkasa utama di rantau Asia.

“Pulangan perbelanjaan kerajaan dan syarikat penganjur kos penganjuran LIMA’21 dijangka meningkat mengambil kira keperluan untuk memenuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Dengan jangkaan jumlah penyertaan akan berkurangan adalah sukar untuk mencapai pulangan pelaburan berbanding kos yang dikeluarkan oleh kerajaan dan penganjur,” menurutnya.

Menurut kenyataan itu lagi, keputusan pembatalan ini juga dibuat setelah mengambil kira pandangan daripada pihak pemegang taruh dan juga pihak berkaitan lain. FMT

Leave a Reply