4 kilang ditutup: Bangkai tikus dalam tempat simpan kerisik

EMPAT kilang memproses kerisik, mi dan kicap sekitar daerah Seberang Perai Tengah diarah tutup selama 14 hari kerana terlalu kotor.

Lebih menjijikkan, terdapat bangkai tikus dalam bekas penyimpanan kerisik yang sudah berkulat ditemui ketika pemeriksaan dilakukan.

Arahan penutupan itu dikeluarkan selepas sepasukan penguatkuasa Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) bersama Jabatan Perlesenan dan Jabatan Penguatkuasaan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mengadakan operasi jam 10 pagi hari ini.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan Dan Kualiti Makanan (JKN), Mohd Wazir Khalid berkata, operasi dilakukan di sekitar kawasan Mengkuang Titi, Sungai Lembu dan Tanah Liat.

“Pemeriksaan mendapati empat kilang berkenaan tidak mengikut piawaian kebersihan ditetapkan bahkan ada yang sangat kotor. Contohnya, kawasan sekitar kilang kerisik bukan setakat lantai kotor bahkan bekas menyimpan kerisik yang siap dimasak didapati berkulat dan terdapat bangkai tikus di dalamnya.

“Di kilang kicap pula kami dapati ada bungkusan plastik yang sudah reput digunakan dalam bekas menyimpan kacang soya (untuk dijadikan kicap) sedangkan penggunaan plastik dalam proses pengampaian tidak dibenarkan.

“Pemilik premis tidak mengutamakan penjagaan sistem perparitan, beroperasi dalam struktur bangunan yang kotor dan membiarkan kicap terdedah kepada bahan asing serta serangga kerana diletak di luar bangunan,” katanya.

Katanya, berikutan itu, notis penutupan dikeluarkan supaya pemilik kilang dapat membersihkan premis seperti dikehendaki.

Mengulas lanjut, Mohd Wazir berkata, pemeriksaan lanjut mendapati tiga daripada empat kilang berkenaan mempunyai sijil halal.

“Sijil halal satu lagi kilang meragukan dan kita akan membuat aduan kepada pihak berkaitan,” katanya.

Mohd Wazir berkata, selain notis penutupan JKNPP dan MBSP turut mengeluarkan sembilan kompaun atas pelbagai kesalahan terhadap empat kilang berkenaan.

“Ada antara empat kilang ini pernah dikenakan tindakan tetapi tetap mengulangi kesalahan sama,” katanya.

Tambahnya, dalam operasi yang diadakan terdapat sekumpulan pekerja warga asing di kilang kerisik itu bertempiaran lari selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.HM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker