Yuran asrama, perkhidmatan universiti dikurangkan hingga 15 peratus

Yuran asrama dan yuran perkhidmatan di universiti awam bagi semester kedua sesi akademik 2019/2020 dikurangkan sehingga 15 peratus, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad.

Katanya langkah itu melibatkan peruntukan berjumlah RM72 juta dengan RM20 juta telah dipersetujui secara bersama Kementerian Kewangan dan baki adalah menerusi peruntukan dalaman universiti.

“Seramai 523,318 penuntut universiti awam di seluruh negara dijangka mendapat manfaat daripada keputusan ini,” katanya ketika sesi soal jawab lisan persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Noraini berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-Hang Tuah Jaya) yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang mengembalikan semula sebahagian daripada yuran yang telah dibayar penuntut memandangkan mereka tidak masuk ke kampus sejak Mac lalu akibat Covid-19.

Noraini juga berkata pengurangan yuran terbabit dibuat selepas mengambil kira keluhan pelajar dan ibu bapa yang menghadapi bebanan kewangan susulan penularan Covid-19.

– Bernama

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker