Ramalan pertumbuhan 2021 6.9 % terlalu optimistik, kata ahli ekonomi

Seorang ahli ekonomi meragui keluaran dalam negara kasar akan tumbuh 2021 sebanyak jangkaan kerajaan.

Mengulas ucapan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz minggu lepas, Yeah Kim Leng di Universiti Sunway berkata ramalan pertumbuhan antara 6.9% dan 7.5% “terlalu optimistik”.

Tengku Zafrul memetik ramalan daripada agensi antarabangsa.

Yeah berkata anggaran serupa unjuran pemulihan pada 2010 selepas krisis kewangan global.

“Bagi mencapai pertumbuhan yang diramalkan, keadaan dan tahap kegiatan bekalan dan permintaan sejagat dan tempatan mesti dinormalkan menjelang akhir tahun di bertahan sepanjang 2021,” katanya kepada FMT.

Namun, oleh kerana banyak negara masih bergelut mengawal Covid-19, normalisasi itu tidak mungkin berlaku.

“Tanpa peningkatan permintaan sejagat, sektor luaran Malaysia tidak akan dapat memberikan tonik kepada ekonomi untuk melancarkan pemulihan yang kuat dan mencapai kapasiti penuh dengan segera.”

Bagaimanapun, pertumbuhan KDNK pada 2021 dengan mudah akan menjadi positif kerana permintaan tempatan meningkat, disebabkan kejayaan Malaysia mengawal virus itu.

Namun ia tidak mungkin mencapai tahap yang dibayangkan agensi antarabangsa kerana sektor ekspot negara yang cukup besar ini akan ditekan permintaan sejagat yang lemah.

Yeah menjangkakan kerajaan akan merangsang ekonomi bagi meningkatkan permintaan domestik melalui projek, skim pembiayaan dan inisiatif lain.

“Ada kemungkinan ia berdasarkan hutang melalui penerbitan bon kerajaan dalam denominasi ringgit di mana selera dan kapasiti pelaburan secara relatif masih utuh,” katanya.

“Sebilangan besar pembiayaan defisit mungkin daripada sumbangan dividen yang lebih tinggi dari Petronas dan lebihan hasil syarikat milik kerajaan.”

Walaupun begitu, katanya, defisit fiskal pada 2021 mungkin antara 4% dan 5% daripada KDNK daripada antara 6% dan 7% tahun ini.

Kedua-dua tahap defisit itu berada dalam kemampuan pembiayaan hutang negara, tambahnya.

Dalam jangka masa panjang, kerajaan tidak boleh elak daripada mempercepat reformasi ekonomi, menstrukturkan semula ekonomi dan beralih kepada kegiatan ekonomi bernilai tinggi berdasarkan kemampuan digital dan tahap kemahiran yang tinggi.

Shankaran Nambiar di Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia berkata angka peratusan 2021 nampak bagus kerana “base” KDNK yang rendah tahun ini.

“Ia bukanlah kerana akan ada banyak pertumbuhan tiba-tiba berlaku pada 2021,” katanya. “Kerajaan punyai ruang fiskal yang terhad. Ia tidak boleh berterusan merangsang ekonomi.”

Nambiar berkata Putrajaya tidak akan mahu menaikkan had hutang melepasi tahap yang wajar.

“Kalau ia berbuat demikian, ada risiko hilang sokongan agensi penarafan,” katanya.

“Ada juga masalah mengumpul dana.”

Beliau berkata kerajaan harus tumpu kepada membantu rakyat mengekalkan pekerjaan atau mencipta peluang yang kondusif kepada industri yang padat dengan pekerjaan.

“Fasa berikutnya mesti ada projek prasarana mega tetapi perlu berhati-hati.

“Kita tidak mahu projek yang akan sebahagian besar pekerjanya adalah pekerja asing atau projek yang manfaatnya tidak akan kekal dalam negara. Kita juga tidak mahu projek yang akan menyumbang kepada kehilangan pekerjaan.”

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker