‘Penjara mandatori jika kadar alkohol pemandu lebih had’

Share

Kerajaan bersetuju secara dasarnya untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 khususnya dari Seksyen 41 hingga Seksyen 45 untuk kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah dan memandu secara melulu.

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong menjelaskan pindaan ini bertujuan untuk menjadi satu pengajaran kepada orang ramai supaya mematuhi semua peraturan jalan raya.

“Ketiga-tiga komponen hukuman akan dipinda termasuklah kadar denda, tempoh penjara dan tempoh penggantungan lesen memandu kenderaan,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.


Selain itu, Wee turut berkata kerajaan juga akan meminda had kandungan alkohol yang dibenarkan supaya selaras dengan piawaian yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), iaitu dengan menurunkan kadar alkohol yang dibenarkan daripada 80 miligram alkohol kepada 50 miligram alkohol dalam 100 mililiter darah.

Wee menjawab soalan Shahidan Kassim (PN-Arau) yang bertanya mengenai perancangan kerajaan untuk melakukan pindaan terhadap akta sedia ada mengenai isu pemandu mabuk yang disabitkan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah serta bagi kes yang menyebabkan kematian pula, apakah hukuman mati akan diperkenalkan.

Sementara itu, berkenaan cadangan hukuman mati bagi kesalahan pemandu mabuk menyebabkan kematian, Wee berkata pihaknya berpendapat kes tersebut perlu dibuktikan di Mahkamah dahulu bahawa pemandu mabuk tersebut mempunyai niat untuk membunuh melampaui keraguan munasabah .


“Berkenaan dengan cadangan mengenakan hukuman mati bagi kesalahan menyebabkan kematian akibat memandu di bawah pengaruh alkohol, kementerian pengangkutan berpendapat kes melibatkan pemandu mabuk perlulah mengikut lunas undang-undang sedia ada.

“Jika Kanun Keseksaan (Akta 574) digunakan untuk menjatuhkan hukuman mati, ia perlu dibuktikan di mahkamah bahawa pemandu mabuk tersebut mempunyai niat untuk membunuh melampaui keraguan munasabah.

“Memang kita geram, tetapi kita tidak boleh ambil tindakan secara melulu supaya pemandu mabuk ini tidak terlepas daripada tindakan undang-undang yang sewajarnya,” katanya lagi.


Menjawab soalan Arau berkenaan jangkaan pindaan akta tersebut, Wee berkata antaranya di bawah Seksyen 44, kadar penjara maksimum akan dinaikkan dari 10 tahun ke 15 tahun untuk kesalahan pertama dan 20 tahun bagi kesalahan berikutnya.

“Kadar denda yang dicadang, (akan) dinaikkan dari maksimum RM20,000 sekarang kepada RM100,000. Kesalahan berikut denda RM 150,000.

“Tempoh pergantungan lesen dari 10 tahun kepada 20 tahun,” katanya lagi.

Tambah Wee, di bawah Seksyen 45 pula – memandu dengan kadar alkohol melebihi had- hukuman penjara telah dicadangkan sebagai satu hukuman mandatori jika disabit kesalahan.

“[…] Ini bermaksud kita serius, amaran kita ialah kalau sudah mabuk atau mengambil alkohol jangan memandu. Kami tidak mencabuli hak meminum, tapi kalau dah minum jangan bawa kenderaan yang akan memudaratkan orang lain,” katanya lagi.

Untuk rekod, Seksyen 41 adalah berkaitan kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.

Seksyen 44 dan 45 pula antara lain berkenaan memandu di bawah pengaruh minuman yang memabukkan atau dadah, sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan. Mkini

Leave a Reply