Neelofa lamar Jericho

Neelofa lamar Jericho Rosales?

Biarpun dunia pengacaraan bukan asing lagi buat selebriti popular, Neelofa, 31, namun perasaan gementar tetap menghantui ketika mengendalikan program terbaharu, Next To Neelofa.

Next To Neelofa musim pertama sebanyak lapan episod menjalani penggambaran, sejak bulan lalu selepas beberapa bulan tertunda. Ia akan bersiaran di Astro Ria, setiap Khamis, jam 9 malam bermula 23 Julai ini.

Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-29 itu berkata, Puan Sri Tiara Jacquelina menjadi tetamu pertama diundang ke program kendaliannya. Tak ketinggalan, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Hans Isaac dan Datuk Rizalman antara tetamu istimewanya.



“Saya gementar, dua hari sebelum memulakan rakaman episod pertama bersama Tiara, saya tidak boleh melelapkan mata. Makin tidak keruan memikirkan banyak perkara.

“Namun, selesai penggambaran episod pertama, perasaan lega hanya Tuhan yang tahu. Pasukan produksi mula faham aliran dan proses bekerja. Saya selesa dan yakin ketika rakaman bersama Hans.

“Masa itu, saya sudah mendapat gambaran jelas mengenai momentun rakaman. Begitu juga ketika rakaman dengan Siti Nurhaliza dan tetamu seterusnya,” katanya kepada BH Online.

Pelakon drama Suri Hati Mr Pilot dan Ti Amo Sweetheart 100 Hari itu berkata, setiap episod memberikan aura dan hasil rakaman yang berbeza.



“Setiap kandungan cerita dikongsi tetamu mempunyai perspektif yang berbeza. Penonton akan merasakan program ini boleh memberi inspirasi, motivasi dan semangat.

“Saya juga sedang merancang mendapatkan Ratu Rock Malaysia, Ella, bintang legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dan angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha untuk musim ini.

“Insya-Allah, saya mahu dapatkan tetamu dari luar negara seperti Kris Dayanti, Princess Syahrini dan Jericho Rosales untuk musim kedua,” katanya.

Neelofa berkata, impian mengendalikan program bual bicara menjadi dambaan setiap pengacara, begitu juga dirinya.



“Saya bersyukur akhirnya apa yang ingin dilakukan, sejak setahun lalu dapat direalisasikan. Ikutkan, saya sudah bercakap mengenai konsep program bual bicara sejak beberapa tahun lalu bersama Astro.

“Cuma disebabkan komitmen, jadual dan peluang tidak mengizinkan, jadi ia masih lagi tertangguh.

“Namun, selepas saya meletakkan titik noktah sebagai hos program MeleTOP, tahun lalu, apa yang tertunda kini dapat diteruskan,” katanya.

Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor itu berkata, sepatutnya penggambaran dan rakaman program Next To Neelofa bermula pada November, tahun lalu.



“Bagaimanapun, saya masih kurang yakin membuktikan keupayaan mengendalikan program sendiri. Kemudiannya, rakaman program ini dianjak ke Februari. Saya masih dihimpit rasa takut dan bimbang lagi.

“Akhirnya dibawa ke Mei lalu. Nak tak nak saya kena mulakan juga. Namun, disebabkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan hingga ke Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan, saya mahu tetamu yang diundang membiasakan dahulu dengan normal baharu,” katanya

BH



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker