Hagia Sophia, Turki beri amaran kepada negara luar

Hagia Sophia harta Turki, negara lain tak perlu provokasi

ISU muzium Hagia Sophia yang bertukar menjadi sebuah masjid sehingga mendapat kritikan daripada beberapa buah negara kini menjadi masalah dalaman negara Turki.

Justeru, lapor agensi berita Agensi Anadolu pada Ahad lalu, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan mendesak negara-negara lain yang mengkritik keputusan tersebut supaya menghormati keputusan muktamad berhubung bangunan itu.

“Pembuat keputusan terakhir berhubung status bangunan Hagia Sophia itu ialah rakyat Turki bukan pihak lain. Ini ialah hal ehwal dalaman,” katanya kepada jurnal Kriter yang berpangkalan di Istanbul pada Ahad lalu.



Erdogan menegaskan negara-negara lain seharusnya menghormati keputusan Turki dengan menambah pertukaran mercu tanda ikonik tersebut daripada sebuah masjid ke sebuah muzium telah dibuat pada tahun 1934 itu merupakan satu keputusan yang menyakitkan untuk rakyat negara berkenaan.

Beliau turut menolak kritikan antarabangsa dan domestik berhubung isu tersebut.

Greece sebelum ini mengkritik keputusan tersebut dengan menganggapnya sebagai provokatif selain AS dan Rusia menyuarakan kekecewaan dan Perancis menyuarakan kekesalannya.

Pada Jumaat lalu, sebuah mahkamah tertinggi membubarkan dekri Kabinet pada tahun 1934 yang telah menjadikan bangunan Hagia Sophia sebagai sebuah muzium.



Turki ketika itu berada pada awal pemerintahan sekular yang diasaskan oleh Mustafa Kemal Ataturk.

Keputusan yang dibuat oleh Majlis Negara itu membuka jalan kepada penggunaan bangunan tersebut sebagai sebuah masjid.

Ia memutuskan bahawa bangunan yang mempunyai seni bina tinggi dan dimiliki oleh sebuah yayasan ditubuhkan oleh Sultan Mehmet II iaitu penakluk Istanbul daripada empayar Otoman dan menyerahkannya kepada penduduk sebagai sebuah masjid merupakan status yang tidak boleh diubah dari segi undang-undang.

Menurut portal berita Daily Sabah, Persatuan Yayasan Perkhidmatan Untuk Artifak dan Alam Sekitar iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan beribu pejabat di Istanbul memfailkan petisyen di Kamar Bicara ke-10, Majlis Negara bagi meminta pembubaran penukaran status Hagia Sophia menjadi sebuah muzium selepas menjadi sebuah masjid selama 500 tahun.



Pasukan peguam bela yang mahu status bangunan muzium itu diubah berhujah, ia adalah hak milik peribadi Sultan Memet II yang menukarkannya dari sebuah gereja ke sebuah masjid.

Menurut portal berita TRT World, hujah peguam bela tidak boleh digunakan untuk menentang wasiat pembiayanya yang mahu ia menjadi sebagai sebuah masjid buat selama-lamanya.

Bangunan ikonik itu dibina kira-kira 1,500 tahun lalu sebagai sebuah gereja Kristian Ortodok selama beberapa abad di bawah pemerintahan empayar Byazantine.

Ia kemudian ditukar menjadi sebuah masjid berikutan penaklukan Istanbul pada tahun 1453.



Pada tahun 1935, bangunan itu kemudian menjadi sebuah muzium.

Solat Jumaat berjemaah, kata Erdogan, akan diadakan pada 24 Julai ini.

Dalam pada itu, Turki turut mengkritik kenyataan Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo berhubung isu bangunan Hagia Sophia.

Pompeo dilaporkan berkata, negara itu diminta mengekalkan status bangunan tersebut sebagai sebuah muzium sehari sebelum mahkamah membuat keputusan tentang status struktur ikonik itu.



Bagaimanapun, jurucakap Kementerian Luar Turki, Hami Aksoy berkata, negaranya melindungi semua aset kebudayaan termasuk Hagia Sophia tanpa sebarang diskrimnasi dalam ruang lingkup tradisi toleransi daripada sejarah dan budaya rakyatnya.

“Hagia Sophia merupakan harta Turki seperti semua aset kebudayaan yang terdapat di tanah kami,” kata kenyataan kementerian itu seperti dilaporkan portal berita Agensi Anadolu.

Dalam pada itu, keputusan menukarkan status bangunan tersebut menjadi sebuah masjid memberi kesan kepada indeks pasaran saham negara tersebut pada Isnin lalu.

Sinar



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker