‘Dr Mahathir hanya kebetulan di tempat dan pada masa tepat’

Share

Ketua Penerangan Pemuda PKR (AMK) Sabah, Razeef Rakimin menyanggah kenyataan Presiden Warisan Shafie Apdal yang mendakwa kemenangan Pakatan Harapan pada pilihan raya umum 2018 (PRU14) adalah berdasarkan peranan utama oleh Dr Mahathir Mohamad.

Dalam satu kenyataan media, katanya, tidak mungkin seorang yang diletakkan sebagai calon perdana menteri sementara menjadi faktor utama tumbangnya rejim Barisan Nasional yang memerintah hampir enam dekad.

“Apatah lagi walau parti Bersatu yang dipimpinnya membolot kerusi terbanyak untuk ditandingi iaitu 51 kerusi Parlimen namun Bersatu hanya mampu menang 13 kerusi Parlimen.


“Jika ‘individu’ boleh dijadikan faktor maka (Presiden PKR) Anwar Ibrahim juga boleh menjadi faktor utama. Kerana dalam Perjanjian Muafakat Pakatan Harapan jelas menyatakan Dr Mahathir hanya akan menjadi perdana menteri sementara kemudian peralihan kuasa akan berlangsung selepas Anwar Ibrahim mendapat pengampunan diraja dan menjadi ahli parlimen,” katanya.

Sebaliknya, Razeef mendakwa Anwar adalah faktor utama kerana rakyat ingin melihat sosok utama pencetus gelombang reformasi dan gelombang kebangkitan rakyat menjadi perdana menteri.

Semalam, dalam wawancaranya, Shafie menekankan pentingnya peranan Dr Mahathir, terutama berkenaan dengan pengundi Melayu, yang membolehkan PH dan sekutunya menawan Putrajaya.


Katanya, pengaruh Dr Mahathir telah mengubah keseimbangan kuasa daripada Umno kepada Bersatu pada PRU14 sebelum parti itu bertindak meninggalkan PH awal tahun ini.

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin mengisytiharkan Bersatu keluar daripada PH selepas Dr Mahathir meletakkan jawatannya yang sekali gus menyaksikan kerajaan PH tumbang. Muhyiddin kemudian bertindak menubuhkan kerajaan baru Perikatan Nasional yang disokong oleh PAS, Umno, GPS dan beberapa anggota parlimen Bersatu yang setia krepadanya dan wakil rakyat PKR yang berpaling tadah.

Mengulas lanjut, pemimpin AMK Sabah itu berkata, semua pihal perlu menerima hakikat bahawa gelombang tsunami rakyat menjadi faktor utama dan bukan sosok individu tertentu.


“Shafie perlu faham faktor utama tumbangnya kerajaan BN adalah kerana gelombang besar penolakan rakyat terhadap BN dan bukannya kerana individu tertentu sama ada oleh Dr Mahathir atau Shafie sekalipun.

“Dr Mahathir hanya kebetulan berada di tempat dan pada masa yang tepat impak tsunami rakyat menolak BN,” katanya.

Malah beliau juga mengingatkan bahawa parti PKR merupakan faktor utama kemenangan PH kerana di semenanjung semua calon gabungan itu menggunakan logo PKR.

Razeef berkata, PH membuat keputusan yang tepat untuk tidak menamakan Mahathir sebagai calon perdana menteri jika ia berkuasa kerana beliau adalah penyebab kejatuhan kerajaan PH.

One thought on “‘Dr Mahathir hanya kebetulan di tempat dan pada masa tepat’

  • July 15, 2020 at 15:23
    Permalink

    tidak perlu menjadi rocket scientist apatah lagi menjadi ‘memandai-mandai’ seperti ketua penerangan pemuda pkr Sabah itu untuk mengetahui sebab kenapa BN tumbang pada PRU14 yang lepas

    rakyat marhaen yang tidak sekolah tinggi pun boleh beritahu dengan setepat fakta BN tumbang dan kalah disebabkan kempen fitnah & kebencian maha dasyat pembangkang terhadap DS Najib serta janji2 bulan dan bintang dalam manifesto pembangkang pada masa itu

    Reply

Leave a Reply