AS batal peraturan baharu babitkan pelajar antarabangsa

KERAJAAN Amerika Syarikat (AS) membatalkan keputusan kontroversi mereka untuk menarik balik visa pelajar asing yang kelas mereka dijalankan secara dalam talian.

Hakim Persekutuan Allison Burroughs, dalam satu taklimat ringkas pada Selasa berkata, kerajaan bersetuju untuk menarik semula keputusan dan sebarang pelaksanaan bersabit dengannya.

Universiti Harvard dan Institut Teknologi Massachusetts (MIT) dengan sokongan beberapa institusi lain, kesatuan guru dan sekurang-kurangnya 18 negeri di AS mengambil tindakan undang-undang terhadap langkah Jabatan Imigresen dan Penguatkuasaan Kastam (ICE) sebagaimana diumumkan 6 Julai lepas.

Antara lain, kedua-duanya meminta mahkamah menghalang perintah diumumkan ICE dengan bersyarat iaitu penuntut asing meninggalkan AS jika kuliah mereka dijalankan secara dalam talian, atau berpindah ke institusi yang menawarkan pengajian secara bersemuka.

Pendekatan dilihat memberi tekanan terhadap institusi pendidikan oleh pentadbiran presiden Donald Trump atas alasan mengambil langkah berjaga-jaga susulan pandemik COVID-19

BACA: Pelajar antarabangsa perlu tinggalkan AS jika universiti beralih kepada pembelajaran dalam talian

BACA: Visa pelajar asing: Dua universiti fail saman atas Jabatan Kastam AS

Kesemua universiti berkenaan senada bahawa langkah itu akan menjejaskan keseluruhan penuntut dari aspek kewangan dan peribadi.

Mereka turut menggambarkan perintah itu sebagai zalim dan keterlaluan, serta meletakkan sektor pengajian tinggi Amerika dalam kekecohan.

Data oleh Institut Pendidikan Antarabangsa mendedahkan, terdapat lebih sejuta penuntut asing di AS untuk tahun akademik 2018/2019.

Berikutan perintah mahkamah itu, ICE akan membenarkan semula pelajar antarabangsa tinggal di AS dan mengikuti semua kelas mereka secara dalam talian semasa wabak.

Burroughs berkata perintah mahkamah itu juga berkuat kuasa kepada semua institusi pendidikan tinggi di seluruh negara. Awani

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker