Ahli Parlimen PN bantah hasrat Zuraida laksana pilihan raya PBT

Beberapa ahli Parlimen Perikatan Nasional membantah hasrat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan.

Noh Omar (PN-Tanjong Karang) kecewa dengan kenyataan Zuraida yang Selangor dan Pulau Pinang akan menjadi negeri percubaan untuk melaksanakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana Umno dan PAS menolak pelaksanaan itu.

“Tolong lupakan manifesto dari BN dan PH, ayuh tengok ke hadapan dan keputusan yang dibuat perlulah mengambil kira perasaan gabungan yang lain, Umno dan PAS.

“Saya minta maaf pada menteri KPKT, saya amat terguris hati, amat terkejut bila menteri KPKT berikan jawapan semalam, KPKT sejak 2018 masih dalam penyediaan kertas untuk dibentangkan yang disasarkan pada 2021.

“Saya lebih sedih bila menteri katakan Selangor dan Pulau Pinang akan jadi negeri percubaan. Saya tegaskan PAS dan Umno menolak pilihan raya PBT. Ini siapa punya manifesto? Ini manifesto PH,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Noh mahu Zuraida mengumumkan kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin membatalkan hasrat melaksanakan pilihan raya PBT.

“Sekarang ini kerajaan PN kita tidak ada manifesto. Tolonglah supaya kita ini senang di bawah ini. Tidak perlulah bawa kertas cadangan kepada Kabinet, menteri lupakanlah.”

Nik Mohamad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) turut bangun dan membantah pelaksanaan pilihan raya PBT.

“PAS tegas pilihan raya PBT kita akan tolak.”

Alexander Nanta Linggi (PN-Kapit) senada yang Sarawak turut menolak pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan.

“Sarawak tidak mahu,” katanya.

Semalam, Zuraida dilaporkan berkata, kementeriannya menyasarkan usul pilihan raya kerajaan tempatan akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada pertengahan 2021.

Beliau berkata, kementeriannya sejak 2018 menyediakan kertas Kabinet dan menubuhkan 2 jawatankuasa berhubung perkara itu.

Katanya, pilihan raya kerajaan tempatan dijangka menelan belanja keseluruhan RM308 juta bagi 154 PBT atau RM2 juta bagi setiap PBT.

Beliau mengesahkan ketika berada dalam Kabinet PH pimpinan Dr Mahathir Mohamad, perdana menteri itu tidak bersetuju dengan cadangan pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan. FMT

Related Articles

One Comment

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker