‘Selidik sebelum buat transaksi wang, elak jadi mangsa tipu’

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengingatkan orang ramai agar lebih peka, tidak mudah panik dan menyelidik sebelum membuat sebarang transaksi kewangan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan dalam talian.

Menurut beliau, sejak kebelakangan ini terdapat beberapa kes penipuan melibatkan kerugian wang yang besar, termasuk kes seorang guru wanita yang ditipu melalui ‘love scam’ membabitkan kerugian RM112,000 dan seorang pesara berumur 90 tahun yang kerugian sebanyak RM3.83 juta akibat ‘macau scam’.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk lebih peka, jangan mudah panik dan menyelidik sebelum membuat sebarang transaksi kewangan,” katanya dalam kenyataan media mengenai Laporan Laksana Ke-13 pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), hari ini.

Begitu juga sekiranya terdapat panggilan dari mereka yang menyamar sebagai ‘pihak berkuasa’ atau ‘agensi kerajaan’ yang meminta data peribadi atau pindahan wang bagi mengelakkan ‘tindakan undang-undang’, kata Tengku Zafrul.

“Orang ramai dinasihatkan untuk menyemak dengan pihak berkuasa atau agensi kerajaan berkenaan dahulu untuk mendapat kepastian,” kata beliau.

Jelasnya, orang ramai boleh mendapatkan maklumat mengenai taktik-taktik penipuan dan cara-cara melindungi diri daripada laman Facebook Bank Negara Malaysia bertajuk “Amaran Scam” (https://www.facebook.com/amaranpenipuan).

Tengku Zafrul berkata, bagi mereka yang merasakan telah menjadi mangsa penipuan pula, boleh menghubungi BNMTELELINK di talian 1300-88-5465.

“Orang ramai juga perlu peka terhadap laman sesawang dan aplikasi yang tidak pasti kesahihannya yang menggunakan inisiatif di bawah label Prihatin atau Penjana.

“Mereka disarankan jangan berkongsi maklumat peribadi sensitif seperti nombor akaun bank dan sebagainya tanpa mengesahkan kesahihan laman sesawang dan aplikasi dari pihak yang terlibat,” tegas beliau. – Bernama

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker