Saya derma RM9 juta kepada yayasan Zahid bina masjid, kata pemegang saham MyEG

Seorang pemegang saham sebuah penyedia perkhidmatan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau menyumbang RM9 juta kepada yayasan milik Ahmad Zahid Hamidi untuk membina 2 masjid.

Mohd Jimmy Wong Abdullah yang juga pengarah bukan eksekutif MyEG Services Sdn Bhd, berkata beliau menyumbang RM600,000 sebanyak 15 kali menerusi cek dari Mei 2016 hingga Mac 2018.

“Zahid minta saya memasukkan wang ke dalam akaun Firma Guaman Lewis & Co yang mengendalikan yayasan itu,” kata saksi pendakwaan ke -78 dalam pernyataan saksinya.

Wong berkata, Zahid mempelawa beliau ke kediaman peribadinya pada akhir 2015 untuk majlis kesyukuran dan kemudian bertanya jika beliau mahu mendapatkan pahala daripada Allah kerana melakukan kebaikan.



“Saya menjawab dengan tegas dan itu sebabnya saya bekerja keras,” katanya.

Wong berkata, bekas timbalan perdana menteri itu meminta beliau menyumbang wang untuk pembinaan sebuah masjid di Melaka dan sebuah lagi di kediaman peribadinya (Zahid) di Country Heights, Kajang.

“Zahid tanya saya jika saya boleh menderma dan saya jawab sebarang jumlah kurang daripada RM10 juta adalah okey. Zahid kata wang itu akan disalurkan ke sebuah yayasan yang tidak dinamakannya.”

Katanya, beliau hanya boleh membuat bayaran secara ansuran kerana dibayar komisen untuk memperkenalkan majikan yang mengambil pekerja asing tanpa izin.



Katanya, beliau akan memperoleh RM500 untuk setiap pekerja asing tidak berdokumen dan wang itu akan dialihkan ke akaun seorang rakannya bernama Jimmy Ng.

Ng kemudiannya akan memindahkan wang itu kepada Ketua Pegawai Kewangan MyEG, Chong Chien Ming, yang akan menyalurkannya ke firma guaman terbabit.

Terdahulu, seorang saksi yang juga bekas pengerusi Exim Bank, Mat Noor Nawi berkata, Zahid mahu melangsaikan tunggakan pembayaran pinjaman sebuah syarikat pengurusan hotel berjumlah AS$2 juta menggunakan wang dari sebuah yayasan.

Mat Noor berkata, beliau menemui Zahid di pejabatnya pada 23 Jun 2016.



“Tujuan pertemuan itu ialah mendapatkan kelulusan Exim Bank untuk Nurulhidayah (anak perempuan Zahid) memperoleh 60% saham Ri-Yaz Asset Sdn Bhd milik Rashid Manaf,” kata Mat Noor, saksi pendakwaan ke-76.

Ri-Yaz, syarikat pengurusan hotel, mempunyai perjanjian pinjaman sebanyak AS$24.8 juta, yang perlu dilangsaikan dalam masa 8 tahun. Tetapi, syarikat itu mempunyai tunggakan pembayaran balik pinjaman sebanyak AS$2.058 juta.

“Saya memaklumkan Zahid yang jumlah tunggakan itu perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum Nurulhidayah boleh mendapatkan saham Rashid.”

Ri-Yaz, diterajui Rashid, mengambil pinjaman itu untuk membeli sebuah hotel di Bali, Indonesia.



Mat Noor berkata, Zahid memaklumkan beliau akan membayar tunggakan itu menggunakan wang milik sebuah yayasan.

“Bagaimanapun, beliau tidak menyebut dengan khusus nama yayasan itu.”

Dalam pertemuan itu, katanya, Zahid turut menekankan Ri-Yaz perlu membayar balik wang yang didahulukan daripada yayasan itu kemudian.

Beliau berkata, pada Disember 2016, Jawatankuasa Kredit bank itu bersetuju memindahkan saham Rashid kepada Nurulhidayah.



Bagaimanapun, Rashid kekal sebagai penjamin pinjaman itu dan ada satu syarat beliau perlu memiliki 10% saham Ri-Yaz.

Mat Nor berkata, Rashid ialah penjamin pilihan kerana kekayaan bersihnya, kekuatan korporat dan kemampuan teknikalnya untuk memantau projek hotel di Bali.

Pendakwaan hari ini memanggil Wong dan Mat Noor memberi keterangan untuk menunjukkan Zahid menggunakan yayasan itu melakukan aktiviti pengubahan wang.

Zahid, 67, berdepan 47 pertuduhan, dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, 8 pertuduhan rasuah, 27 dakwaan pengubahan wang membabitkan berjuta ringgit dana Yayasan Akalbudi.



Perbicaraan di depan Hakim Collin Lawrence Sequerah ditangguh ke 27 Julai.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker