Laporan audit: 28 makanan kering luput lebih 1 tahun dibekal ke sekolah

Share

Makanan kering yang dibekalkan ke sekolah berasrama sudah luput lebih setahun, tiada logo halal dan berat bahan makanan mentah tidak sama dengan invois antara masalah yang dicatatkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Ketua Audit Negara, Nik Azman Majid berkata 28 jenis makanan kering yang dibekalkan ke 13 sekolah asrama tidak mempunyai tarikh luput atau sudah luput sehingga 427 hari.

“Bahan kering itu juga tidak mempunyai logo halal atau logo halal yang tidak diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), lebih teruk ada bahan kering itu sudah luput tarikh guna antara 1 hari hingga lebih 400 hari serta mengandungi bubuk dan semut.


“Bayangkan ini yang dihidangkan kepada anak kita,” demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 3.

Katanya, laporan audit juga mendapati bahan kering yang dibekalkan berbeza jenama seperti ditetapkan dalam kontrak dan tiada kelulusan pentadbir sekolah, serta timbangan bahan makanan mentah yang dibekalkan tidak sama seperti dalam invois.

Beliau berkata, 359 daripada 793 penyata bank pihak yang menyertai tender program Bekalan Makanan Bermasak (BMB) mulai 1 Jan 2019 adalah palsu.


Azman berkata, Kementerian Pendidikan tidak membuat pengesahan salinan penyata bank dengan bank sebelum mengeluarkan surat setuju terima (SST).

“Ini menyebabkan berlakunya pemalsuan penyata bank oleh petender bagi mendapatkan tender kerajaan.”

Katanya, 67 daripada 71 kontrak lewat ditandatangani antara 3 hingga 446 hari.


Program BMB diperkenalkan pada 1974 dengan peruntukan RM3.667 bilion bagi 2016 hingga 2018.

Pengauditan ke atas program itu dari 2016 hingga 2018 dijalankan di peringkat Kementerian Pendidikan, 3 Jabatan Pendidikan negeri dan 42 sekolah berasrama di Sabah, Kelantan serta Johor.

Leave a Reply