COVID-19: Terlalu banyak negara menuju ke arah salah: WHO

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran terlalu banyak negara cuai dalam bertindak balas terhadap pandemik COVID-19, sekali gus menyaksikan keadaan tidak mampu kembali normal dalam masa terdekat.

Selepas 230,000 jangkitan baharu dilaporkan, kelmarin, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menegaskan bahawa pandemik terbabit akan terus semakin buruk, melainkan orang ramai berdisiplin mengamalkan penjarakan sosial, membasuh tangan, memakai pelitup muka dan tidak keluar rumah jika sakit.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata sesetengah negara yang bertindak melonggarkan perintah berkurung, kini berdepan kebangkitan semula virus itu kerana tidak mengikut langkah yang telah terbukti dapat mengurangkan risiko penularan wabak berkenaan.

“Saya mahu berterus-terang dengan anda. Tidak akan berlaku kembali kepada ‘normal lama’ pada masa depan setakat yang dapat diramalkan.

“Biar saya menyatakan tanpa berselindung: terlalu banyak negara menuju ke arah yang salah.

“Virus itu kekal musuh nombor satu kepada awam, namun banyak kerajaan dan orang mengambil tindakan yang tidak menggambarkan keadaan berkenaan,” katanya pada sesi taklimat secara maya, semalam.

Malah, Tedros berkata, mesej yang bercampur aduk daripada pemimpin berhubung COVID-19, telah menjejaskan kepercayaan masyarakat.

Beliau menegaskan, sekiranya kerajaan negara di serata dunia tidak melaksanakan strategi komprehensif bagi menyekat penularan virus itu, manakala orang ramai pula gagal mematuhi amalan asas, ia hanya akan menyebabkan pandemik COVID-19 terus mengganas.

“Ia akan menjadi semakin buruk, dan buruk, dan buruk,” katanya.

Tedros menjelaskan, ketika ini wujud empat senario berkaitan COVID-19 di seluruh dunia, iaitu negara yang peka dan mengelakkan penularan daripada berleluasa; negara yang berjaya mengawal wabak besar; negara yang melonggarkan sekatan tetapi kini terpaksa berpatah balik; serta negara yang sedang menghadapi fasa jangkitan meruncing. – AFP

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker