‘Semua ini berlaku kerana Tun’

Share

BANGI, 21 Zulkaedah 1441H, Isnin – Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim menyalahkan Tun Dr Mahathir Mohamad kerana meletakkan jawatan Perdana Menteri, sehingga menjadi penyebab punca kekecohan pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

“Semua ini berlaku kerana Tun, kerana Langkawi ( Dr Mahathir) berhentilah hingga berlaku penukaran Speaker.

“Tun, kami puak-puak BN, PAS dan GPS kami diminta untuk menyokong Tun sebagai PM, tapi malangnya…

“Bila Tun berhenti kami terpaksa pilih calon yang lain untuk jadi PM,” katanya yang menjadi Ahli Parlimen ketiga berbahas usul yang dibawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin yang menyokong kenyataan itu berkata, peletakan jawatan Dr Mahathir turut membawa kepada pemilihan Perdana Menteri baharu.

“Semua punca daripada Langkawi. Agong sudah nasihat tapi dia nak berhenti juga. Kami terpaksalah cari PM lain.

“Dulu Tun lantik Latheefa Koya dan Tommy Thomas, kita tidak pertikaikan pun, sama saja dengan kita pilih Speaker (Dewan Rakyat),” katanya.

Tidak berdiam diri dengan dakwaan itu, Dr Mahathir kemudian mencelah dan berkata, peletakan jawatannya disebabkan tidak boleh bekerjasama dengan UMNO yang dianggap bukan seperti dahulu.

“Apabila saya diberi pilihan untuk bekerjasama dengan UMNO dan UMNO bukanlah yang ditubuh dulu, tapi ‘dihijack’ orang tertentu, saya tidak boleh bekerjasama,” katanya.

Kenyataan itu dicelah oleh Bung Mokhtar: “UMNO satu saja. Dulu Tun yang ajar kami, kami ikut ajaran Tun,” katanya.

Usul pengosongan kerusi Yang Dipertua Dewan Rakyat dibawa Tan Sri Muhyiddin Yassin dan diluluskan secara undi belah bahagian dengan 111 undi menyokong, berbanding 109 undi tidak menyokong serta seorang Ahli Parlimen tidak hadir, difahamkan Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili (BN-Kota Marudu).

Leave a Reply