Saya tiada kuasa dahulukan usul tak percaya PM – Azhar

Share

PARLIMEN | Speaker Dewan Rakyat yang baru Azhar Azizan Harun berkata beliau tiada kuasa untuk mendahulukan mana-mana usul, termasuk berkenaan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, dalam sidang Parlimen kali ini.

“Saya tak ada kuasa untuk mengangkat (mendahulukan usul terbabit).

“Ia telah diputuskan oleh Speaker sebelum ini (Mohamad Ariff Md Yusof),” katanya ringkas ketika sidang media pertamanya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat di Parlimen, hari ini.

Usaha pembangkang untuk membawa usul tidak percaya terhadap Muhyiddin Yassin ketika sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei gagal selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan menegaskan hanya urusan kerajaan akan diutamakan dalam sidang selama sehari itu.

Takiyuddin berkata, urusan lain yang tertunggak seperti usul anggota Parlimen yang tidak sempat dibahas, akan dibawa ke sidang seterusnya yang bermula 13 Julai (hari ini).

Peraturan 15(1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat menyatakan urusan kerajaan perlu diutamakan berbanding urusan-urusan lain.

Terdapat empat usul berkaitan keabsahan Muhyiddin sebagai perdana menteri, tetapi semuanya berada di kedudukan terakhir dalam senarai 30 usul.

Tiga usul difailkan oleh Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh), Mohd Fasiah Mohd Fakeh (PN-Sabak Bernam) dan Shahidan Kassim (PN-Arau) – untuk undi percaya kepada Muhyiddin, manakala satu lagi, difailkan Dr Mahathir Mohamad (Bebas-Langkawi) berkenaan usul tidak percaya terhadapnya.

Sementara itu, mengulas jika beliau menyesal menerima jawatan speaker, Azhar – yang sebelum ini dilantik sebagai pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya oleh pentadbiran PH – berkata sebaliknya.

“Itu Dewan Rakyat kita, jadi ini merupakan pengalaman yang baik dan ia adalah pengamalan yang baik bagi saya ,” katanya.

Menurut Azhar, kerajaan PN memaklumkan berkenaan rancangan pelantikannya sebelum hari penamaan calon pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Chini, 20 Jun lalu.

“Saya tidak diarahkan (untuk datang ke Dewan Rakyat hari ini) tetapi dijemput oleh kerajaan, dan saya setuju,” katanya.

Azhar hari ini dilantik sebagai speaker Dewan Rakyat bagi menggantikan Mohamad Ariff. Bagaimanapun proses pelantikannya dibantah pembangkang kerana dibuat tanpa undian ahli Parlimen.

Mkini

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!