Covid-19: KKM kesan kluster baru PUI Novgorod

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memberitahu, 1 kluster baru Covid-19 dikesan di Melaka, yang dikenal pasti sebagai kluster PUI Novgorod.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan berkata, kluster PUI Novgorod dikenal pasti susulan kes ke-3 yang dikesan positif Covid-19 hasil saringan kontak rapat kes ke-2 kluster ini.

“Kes pertama kluster ini merupakan seorang warganegara tempatan yang pulang ke Malaysia dari Rusia pada 5 Julai.

“Keputusan saringan Covid-19 di pintu masuk antarabangsa didapati positif. Beliau kemudiannya dimasukkan ke hospital Sungai Buloh. Kes ke-2 merupakan rakan kepada kes pertama kluster ini.



“Mereka menaiki pesawat yang sama, juga pada 5 Julai 2020. Keputusan saringan Covid-19 di pintu masuk pada awalnya didapati negatif, namun beliau mula mengalami gejala demam dan saluran pernafasan pada 7 Julai. Saringan ulangan didapati positif Covid-19,” katanya.

Noor Hisham berkata, sehingga 13 Julai terdapat 3 kes positif dan 14 orang kontak rapat sudah dikenal pasti dalam kluster ini. Semua 14 orang kontak rapat sudah disaring dan dikesan negatif Covid-19.

“Siasatan dan aktiviti pengesanan kontak rapat secara aktif sedang diteruskan,” katanya.

Beliau mengulas mengenai pertambahan 1 kes import membabitkan warga tempatan dan penularan jangkitan Covid-19 kepada seorang ahli keluarga daripada kes yang mendapat jangkitan di luar negara.



“Ketibaan beliau di Malaysia pada 6 Julai disambut oleh ahli keluarga. Seramai 4 ahli keluarga datang bersama-sama dengan menaiki kereta sendiri untuk menjemputnya di pintu masuk antarabangsa.

“Hasil siasatan mendapati bapa kepada kes tersebut turut dikesan positif Covid-19 selepas beliau mula mengalami gejala demam. Ini menjadikan beliau kes ke-3 kluster PUI Novgorod,” katanya.

FMT



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker