Pas Selangor tegur Azmin jangan rosakkan hubungan PN

Share

SHAH ALAM – Pas Selangor mempersoalkan penganjuran mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) di negeri ini yang dilihat berbeza dengan negeri pembangkang lain seperti Pulau Pinang, Sabah dan Negeri Sembilan.

Pesuruhjayanya, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, penganjuran mesyuarat itu yang dipengerusikan Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menimbulkan tanda tanya memandangkan ia tidak melibatkan kehadiran parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN).

Yunus berkata, langkah diambil Mohamed Azmin itu dilihat hanya akan mengeruhkan hubungan di dalam PN yang berjaya mentadbir negara lebih 100 hari.

“Jangan rosakkan hubungan PN yang dibina, ini kerajaan yang rakyat nantikan dan mereka melihat.

“Perjumpaan antara Mohamed Azmin dengan Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan saya sebelum ini juga sangat harmoni,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Noh juga dilihat turut mempertikaikan penganjuran mesyuarat itu memandangkan ia seharusnya melibatkan wakil rakyat daripada komponen PN yang mewakili kerajaan Persekutuan.

Noh berkata, MTPNg ditubuhkan kerajaan Persekutuan sebagai agensi pelaksana di negeri pembangkang bagi membolehkan ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau wakil parti kerajaan Persekutuan terlibat dalam pembangunan negeri.

Yunus yang juga ADUN Sijangkang turut mempersoalkan mengenai pelantikan ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) yang dijangka selesai pada bulan hadapan di negeri-negeri pembangkang.

“Cadangan nama (bagi pelantikan) itu harus diperakukan Pengerusi MPTNg sebelum diluluskan Menteri Pembangunan Luar Bandar, namun sehingga kini masih belum ada sebarang pertemuan antara pimpinan parti komponen PN di peringkat negeri untuk membincangkan perkara itu.

“Apa yang berlaku kini hanyalah proses ‘tawar-menawar’ dan keadaan itu dilihat tidak sihat buat PN dan komponennya,” katanya.

SH

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!