Dua maut, SUV terbalik di LPT

Dua lelaki maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang mereka naiki terbalik di Kilometer 196.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di sini hari ini.

Kejadian jam 5.05 petang itu menyebabkan pemandu Nissan Murano itu, Ahmad Roshidi Halim, 51, dan penumpang belakang kenderaan, Rajhan Ibrahim, 56, maut di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, mangsa yang cedera pula, Mohd Wari Mat Zaki, 51, dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

“Ahmad Roshidi dan Rajhan adalah dari Alor Setar, Kedah manakala Mohd Wari pula dari Kangar, Perlis dan mereka itu dipercayai rakan perniagaan,” katanya.

Menurutnya, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila SUV berkenaan gagal dikawal sebelum merempuh pembahagi jalan sebelum terbalik.

“Ini menyebabkan kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan sudah dihantar ke Unit Forensik HTAA untuk proses bedah siasat,” katanya.

Katanya, kejadian berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Awani

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker