Shafie menteri paling kerap minta tender terpilih, kata Najib

Najib Razak mendedahkan Presiden Warisan Shafie Apdal merupakan menteri yang kerap menolak pelaksanaan tender terbuka, sebaliknya memilih tender terhad sewaktu menjawat tugas menteri kemajuan luar bandar dan wilayah.

Najib yang ketika itu turut menjawat tugas sebagai menteri kewangan berkata, apabila beliau menolak permohonan Shafie, bekas menteri berkenaan akan mengirimkan surat rayuan untuk dipertimbangkan semula olehnya.

“Semasa saya perdana menteri dan menteri kewangan, menteri yang paling kerap menolak tender terbuka dan meminta tender terpilih ialah calon perdana menteri Pakatan Harapan Plus. Bila kita tolak dia, dia boleh tulis surat rayuan pula.

“Jarang ada orang tulis surat rayuan untuk ini. Tidak ada menteri lain seperti dia. Sehinga surat permohonan untuk tender terhad dan surat rayuan bertimbun-timbun di Kementerian Kewangan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Najib turut memuat naik gambar 2 pucuk surat yang oleh ditandatangani Shafie pada 2013 dan dikirim kepada Najib dan bekas menteri kewangan II Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah.

Dalam surat kepada Najib, Shafie merayu supaya beliau menimbangkan semula secara tender terpilih projek laluan alternatif menghubungkan Parit Jalil dan Bakau Condong di Batu Pahat, Johor.

Surat kedua yang ditujukan kepada Husni pula merayu pertimbangan semula tender terpilih bagi pelaksanaan projek membina jalan ke Mini Estet Sejahtera, Kampung Timpagoh Laut, Penampang, Sabah.

Najib berkata, Shafie pada suatu ketika pernah menzahirkan rasa tidak puas hati atas tindakannya menolak permintaan beliau pada waktu itu.

“Bila dia jadi perdana menteri ke-9 PH Plus, bolehlah dia luluskan tender-tender dia sendiri pada masa depan seperti apa yang dia sering buat. Bolehlah dia berhenti tulis surat rayuan pada masa itu,” sindir Najib merujuk kepada penamaan Shafie sebagai calon perdana menteri PH sebelum ini sekiranya gabungan itu berjaya merampas semula Putrajaya.

Related Articles

One Comment

  1. Kesian Sapiee..manusia macam ni mana layak jadi calon PM tepi.
    Pangkat dan kuasa berdasarkan dendam dan penipuan takkan kemana

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker