Polis cari editor buku hina Jata Negara – KPN

KUALA LUMPUR: Polis masih mengesan editor buku Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia yang gambar kulit buku itu didakwa menghina Jata Negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata setakat ini pihaknya sudah merakam keterangan pelukis, penerbit dan pencetak buku berkenaan.

“Proses merakam keterangan beberapa penulis yang menyumbang artikel untuk buku berkenaan akan dilakukan dalam masa terdekat.

“Bagaimanapun, kita masih berusaha mengesan editor buku terbabit,” katanya ketika ditemui di Bukit Aman, semalam.

Abdul Hamid berkata, siasatan berhubung penerbitan buku berkenaan dimulakan sejak 29 Jun lalu susulan beberapa laporan polis diterima daripada pelbagai pihak di seluruh negara.

“Siasatan mendapati sebanyak 1,000 naskhah sudah dicetak dan kita sudah merampas 313 naskhah baki buku yang belum terjual.

“Pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut membuat rampasan sebanyak 233 naskhah buku berkenaan,” katanya.

Siasatan polis dijalankan mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama 2016, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 8(1) Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Buku Rebirth: Reformasi, Resistance and Hope yang disunting penulis, Kean Wong itu mempamerkan sebuah logo mirip Jata Negara mendapat perhatian kerana menggunakan gambar yang dikatakan menghina Jata Negara.

Perkara itu menimbulkan pelbagai reaksi selepas ia tersebar di media sosial.

Berikutan itu, pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik membuat laporan polis dan menggesa tindakan tegas dikenakan terhadap pihak yang terbabit.

BH

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker