Wanita dan adik perempuan maut dalam kejadian bakar diriar diri

Dua adik beradik perempuan yang melecur dalam kebakaran di sebuah rumah di Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat, Pulau Pinang pada petang Khamis meninggal dunia hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern, memaklumkan dua wanita masing – masing berusia 39 dan 33 tahun itu dilaporkan meninggal dunia pagi tadi selepas mendapatkan rawatan di Hospital Seberang Jaya.

Dalam kejadian jam 4 petang semalam, kedua-dua wanita itu dilaporkan melecur 100 peratus selepas berlaku kebakaran di rumah mereka.

Chong Chern berkata, punca kebakaran berlaku apabila salah seorang mangsa bertindak membakar diri sendiri dipercayai akibat tertekan dengan penyakit misteri dan masalah berat badan yang dihadapinya.

Mangsa yang berusia 39 tahun sebelum itu dikatakan telah bertengkar dengan adiknya sebelum bertindak mengambil petrol yang terletak di belakang pintu bilik terbabit lalu menyimbahnya di seluruh anggota badannya sebelum dia menghidupkan pemetik api.

Pada masa yang sama, api turut menyambar tubuh adik perempuannya yang cuba membantu memadamkan api yang marak pada tubuh kakaknya.

Kejadian turut menyebabkan pembantu rumah wanita warga Myanmar berusia 50 tahun serta dua kanak-kanak lelaki berusia dua dan 12 tahun melecur ketika sama-sama membantu memadamkan api.

Kesemua mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sungai Bakap (HSB) untuk rawatan.

“Adik wanita itu meninggal dunia pada jam 5.34 pagi manakala wanita terbabit pula meninggal pada jam 11.43 pagi.

“Siasatan yang dijalankan di rumah berkenaan mendapati terdapat lima penghuni ketika kejadian berlaku yang mana suami wanita terbabit keluar bekerja manakala suami adiknya pula sedang menjalani hukuman penjara.

“Tiga mangsa yang melecur kini dilaporkan stabil dan salah seorang sudah dibenarkan pulang ke rumah,” katanya.

Bagaimanapun insiden itu hanya memusnahkan 15 peratus bahagian bilik utama rumah berkenaan.

Chong Chern berkata, wanita itu dikatakan mempunyai penyakit ‘kaki gajah’ sehingga berat badannya mencecah 180 kg dan disebabkan itu dia selalu berada dalam keadaan kemurungan.

“Wanita berkenaan pernah mendapatkan rawatan ekoran penyakitnya di Chennai, India pada tiga tahun lalu namun tidak mendapatkan sebarang rawatan di hospital negara ini.

“Perkara itu menyebabkan dia sentiasa kemurungan dan selalu bercakap kasar dengan ahli keluarganya kerana tidak boleh menerima hakikat hingga dia bertindak di luar jangka,” katanya.

Kes yang sebelum itu disiasat di bawah Seksyen 307/309 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh diri kini disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Awani

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker