Pelantikan Speaker Dewan Rakyat sah jika disokong majoriti

Share

SHAH ALAM – Pelantikan Speaker Dewan Rakyat adalah sah jika usul yang dikemukakan dalam Sidang Dewan mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata, bukan menjadi isu apabila seseorang itu dilantik untuk memegang jawatan tersebut sekiranya mendapat sokongan ahli Dewan Rakyat.

“Justeru, sekiranya ahli Dewan Rakyat daripada parti memerintah mengemukakan usul untuk mencalonkan Speaker Dewan Rakyat baharu, maka pelantikan itu adalah sah jika mendapat sokongan majoriti.

“Kita akan menyokong siapa sahaja yang diputuskan kerajaan termasuk bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Rosol yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengulas laporan media mengenai pencalonan Azhar Azizan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu bagi menggantikan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.

Bagaimanapun, pencalonan Azhar Azizan mengundang kontroversi apabila ahli-ahli Parlimen pembangkang rata-rata tidak bersetuju dengan pelantikan tersebut, sebaliknya mahu Mohamad Ariff dikekalkan.

Azhar Azizan juga disahkan meletak jawatan sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkuat kuasa pada 29 Jun lalu.

Menurut SPR, peletakan jawatan tersebut mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melalui surat Istana Negara bertarikh 30 Jun lalu.

Rosol yang juga ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, beliau yakin sesiapa sahaja yang dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat kelak akan bertindak adil kepada semua pihak.

Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata, Mohamad Ariff wajar dikekalkan sebagai Speaker Dewan Rakyat kerana mempunyai pengalaman luas dalam bidang perundangan negara.

Beliau berkata, ia berdasarkan kerjaya Mohamad Ariff sebelum ini yang dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman di Mahkamah Tinggi Malaya pada tahun 2008 sehinggalah bersara pada tahun 2015 sebagai Hakim Mahkamah Rayuan.

“Jawatan hakim bukanlah lantikan politik atau kroni kerana dipilih Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman,” katanya.

Hasanuddin yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, Mohamad Ariff memegang jawatan Speaker Dewan Rakyat kerana keupayaannya.

Menurutnya, keadaan itu berbeza berbanding Speaker Dewan Rakyat terdahulu seperti Tan Sri Ramli Ngah Talib daripada UMNO dan Tan Sri Pandikar Amin yang menubuhkan Parti Akar Bersatu serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah sejak tahun 1982.

“Rakyat sudah bijak menilai. Mereka sudah muak melihat ahli-ahli politik asyik menukar mereka yang layak dan profesional daripada memegang jawatan penting dalam kerajaan.

“Tanyalah mana-mana ahli Parlimen semasa mereka bersama kerajaan Pakatan Harapan, pembangkang atau Bebas. Tan Sri Speaker (Mohamad Ariff) melayan kami sama sahaja.

“Beliau tidak memilih bulu dalam melayan setiap ahli Parlimen semasa dalam Dewan (Rakyat), luar Dewan (Rakyat) atau semasa ke luar negara ketika menjalankan tugas rasmi,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari pula berkata, tiada sebab kukuh untuk menukar Speaker Dewan Rakyat kerana banyak pembaharuan dan reformasi Parlimen telah dilaksanakan oleh Mohamad Ariff.

“Saya melihat prestasi Tan Sri Mohamad Ariff sejak 2018 amat cemerlang. Beliau berkelakuan profesional dan berpegang kepada lunas undang-undang dan peraturan mesyuarat Dewan Rakyat.

“Banyak pembaharuan dan reformasi Parlimen yang dilaksanakan. Inilah legasi beliau dan sepatutnya beliau diberi masa untuk meneruskan reformasi dan meningkatkan lagi standard Parlimen negara ini,” katanya.

SH

One thought on “Pelantikan Speaker Dewan Rakyat sah jika disokong majoriti

  • July 10, 2020 at 12:34
    Permalink

    cemerlang & adil(tak berat sebelah) apa kebendanya mohamad ariff tu anak bekerja dengan menteri kewayangan lalu terhutang budi terpaksa tolak usul hadapkan menteri kewayangan pada jawatankuasa hak dan kebebasan parlimen.untuk dikenakan tindakan kerana telah memfitnah UMNO & BN merompak wang GST

    Reply

Leave a Reply