Adun Rahang umum keluar DAP

Adun Rahang Mary Josephine Prittam Singh mengumumkan keluar dari DAP hari ini, tetapi berhasrat untuk terus kekal sebagai wakil rakyat yang menyokong Pakatan Harapan (PH).

Adun yang telah memegang kawasan Rahang selama dua penggal itu membuat pengumuman berkenaan dalam sebuah sidang media hari ini.

Mary dengan penuh emosi berkata dia telah berulang kali diketepikan dari proses membuat keputusan.

“Sangat menyakitkan, saya telah bersama DAP selama 46 tahun. Saya masih menyokong kerajaan Pakatan Harapan.



“Saya meletakkan jawatan sebagai setiausaha organisasi Wanita DAP, naib ketua wanita PH nasional, ketua wanita DAP negeri dan timbalan ketua wanita PH negeri,” katanya.

“Keputusan saya adalah muktamad.

“Saya mahu pengundi saya tahu, saya masih ada bersama anda. Saya masih Adun anda, saya masih dengan kerajaan Pakatan Harapan, saya akan terus berkhidmat untuk rakyat. Pusat perkhidmatan saya yang beroperasi dua kali sebulan akan berterusan.

“Saya tidak berubah, saya masih YB, saya masih orang yang sama. Datanglah kepada saya jika anda mempunyai apa-apa masalah,” katanya lagi.



Veteran parti itu dilaporkan kecewa dengan keputusan pucuk pimpinan negeri untuk tidak mengesahkan pemilihan ketua majlisnya untuk majlis pengurusan masyarakat desa yang diumumkan oleh kerajaan negeri pada hari Rabu (8 Julai).

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker