Muhyiddin jangan bubar parlimen – Nazri Aziz

Share

PM perlu tegas umum tiada pilihan raya sehingga 2023 – Nazri Aziz

Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mencadangkan agar Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak membubarkan Parlimen sehingga habis penggal pada 2023.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu berpendapat, dengan cara itu Muhyiddin mempunyai banyak masa untuk menstabilkan Perikatan Nasional (PN).

Jelas beliau, sekiranya Muhyiddin mengumumkan tidak akan membubarkan Parlimen sehingga 2023, ia mampu meyakinkan pelabur asing.

“Perdana Menteri yang kena umum dengan tegas bahawa kerajaan yang ada ini akan memenuhi tempoh tiga tahun sebelum habis penggal pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Sekiranya Muhyiddin umum perkara itu, orang akan lihat beliau berani dan mempunyai keyakinan.

“Dengan cara itu, pelabur asing pun boleh datang dan dalam masa tiga tahun beliau boleh kukuhkan PN,” katanya kepada Astro AWANI.

Selain itu, kata beliau, cadangan yang dikemukakan itu merupakan alternatif kepada pilihan raya mengejut yang banyak diperkatakan sekarang.

“Kalau buat pilihan raya sekarang, dari segi kesiapsiagaan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak bersedia, kerana mereka tidak ada akar umbi.

“Ambil contoh pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini baru-baru ini, Bersatu bukan tidak mahu tolong, tetapi mereka tidak ada jentera, bukan hanya di Chini tetapi di seluruh negara.

“Jadi, nak selesaikan perkara ini dan pembahagian kerusi, PM sendiri kena umum tidak ada pilihan raya hingga 2023,” katanya lagi.

Nazri berkata demikian ketika diminta mengulas pandangan banyak pihak termasuk penganalisis politik bahawa PN masih belum stabil untuk diadakan pilihan raya mengejut.

Penganalisis politik berpendapat, ketidakstabilan PN terutama dalam isu pembahagian kerusi boleh menjejaskan peluang gabungan itu memenangi pilihan raya.

Sekiranya Muhyiddin mengumumkan PN kekal memerintah sehingga habis penggal PRU14, Nazri berkata semua Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan perlu bersedia hadir setiap hari pada sesi Dewan Rakyat.

Awani

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!