Dakwaan buruh paksa – Pekerja kilang sarung tangan terima bayaran balik

Share

 

WRP Asia Pasifik, pembuat sarung tangan yang didakwa oleh Amerika Syarikat mengamalkan “buruh paksa” mula membayar balik yuran pengambilan pekerjanya.

Langkah itu sebahagian usaha berterusan untuk mereformasi syarikat itu sebagai tindak balas terhadap dakwaan ‘buruh paksa’ berkenaan.

AS telah melarang pengimportan sarung tangan getah yang dihasilkan oleh syarikat itu pada Oktober tahun lalu tetapi larangan tersebut ditarik semula pada bulan Mac di tengah kekurangan bekalan disebabkan oleh wabak Covid-19.

Pekerja asing di syarikat itu dibayar balik antara RM4,547 hingga RM16,054 selama 30 bulan, lapor Free Malaysia Today (FMT).

“Saya membayar sekitar 120,000 rupee Nepal (sekitar RM4,280) kepada sebuah agensi untuk sampai ke Malaysia, dan ini (program pemulihan) sudah cukup untuk membayar jumlah itu sepenuhnya.

“Saya sangat gembira. Saya dapat RM140 minggu lalu dan secara keseluruhan, saya akan menerima RM4,547.

“Bayaran daripada WRP akan dibuat setiap tiga bulan, dan ketika kontrak saya akan berakhir pada April 2021, WRP berkata mereka akan memasukkan baki sebelum saya pulang,” kata seorang pekerja.

Mengenakan bayaran mengambil pekerja yang tinggi kepada pekerja asing telah menjadi kebiasaan dalam eksploitasi terhadap golongan itu.

Bayaran yang besar sering menyebabkan mereka berhutang dan terikat dengan majikan untuk membayar hutang mereka.

Firma undang-undang syarikat itu, Thomas Philip Advocates and Solicitors juga dipetik FMT sebagai berkata WRP Asia Pasifik komited untuk menjernihkan keadaan dengan membuat bayaran balik kepada para pekerja.

MK

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!