Covid-19 boleh sebabkan kerosakan otak yang teruk, kata saintis

Share

LONDON: Saintis memberi amaran kemungkinan gelombang kerosakan otak berkairan koronavirus kerana bukti baru menunjukkan Covid-19 boleh membawa kepada komplikasi neurologi yang teruk termasuk keradangan, psikosis, dan kecelaruan.

Kajian penyelidik di University College London (UCL) menggambarkan 43 kes pesakit Covid-19 menderita kegagalan otak sementara, strok, kerosakan saraf, atau kesan serius lain terhadap otak.

Penyelidikan itu menguatkan kajian lain baru-baru ini yang turut mendapati virus berkenaan boleh merosakkan otak.

“Sama ada kita akan melihat kerosakan otak pada skala besar yang berkaitan dengan pandemik – mungkin serupa dengan wabak encephalitis lethargica pada 1920-an dan 1930-an selepas pandemik influenza 1918 – masih belum dapat dipastikan,” kata Michael Zandi, dari Institut Neurologi UCL yang mengetuai kajian itu.

Covid-19, wabak disebabkan oleh koronavirus baru, sebahagian besarnya penyakit pernafasan yang menyerang paru-paru, tetapi pakar saraf dan otak memperoleh bukti menunjukkan kesannya pada otak amat membimbangkan.

“Apa yang membimbangkan, jutaan orang dijangkiti Covid-19 kini. Jika dalam masa setahun kita mempunyai 10 juta orang yang pulih, mereka mengalami kekurangan kognitif yang akan mempengaruhi kemampuan untuk bekerja dan melakukan aktiviti seharian,” kata pakar saraf dari Western University Kanada, Adrian Owen ketika ditemubual Reuters.

Berdasarkan kajian UCL diterbitkan jurnal Brain, 9 pesakit yang mengalami radang otak didiagnosis dengan acute disseminated encephalomyelitis (ADEM) yang jarang ditemui, sering dikesan pada kanak-kanak dan boleh dicetuskan oleh jangkitan virus.

Pasukan itu menyatakan kebiasaannya dalam tempoh sebulan seorang pesakit dewasa akan dikesan dengan ADEM di klinik pakar mereka di London, tetapi meningkat kepada sekurang-kurangnya seminggu dalam tempoh kajian, sesuatu disifatkan sebagai “peningkatan yang membimbangkan”.

“Memandangkan wabak ini hanya ada selama beberapa bulan, kita mungkin belum tahu kerosakan jangka panjang Covid-19.

“Doktor perlu tahu tentang kemungkinan kesan neurologi, kerana diagnosis awal dapat meningkatkan kesembuhan pesakit,” kata Ross Paterson yang mengetuai kajian itu.

Owen berkata, bukti yang muncul ini menunjukkan kajian dan pengumpulan data global lebih terperinci perlu dijalankan untuk menilai sekerap mana komplikasi neurologi dan psikiatri itu.

Beliau menjalankan penyelidikan antarabangsa di covidbrainstudy.com, yang mana pesakit boleh mendaftar untuk melakukan siri ujian kognitif bagi melihat sama ada fungsi otak mereka berubah sejak dijangkiti Covid-19.

“Penyakit ini memberi kesan pada ramai orang, itulah sebabnya amat penting untuk mengumpulkan maklumat ini sekarang,” katanya.

FMT

Leave a Reply