Bekas calon ADUN PKR, 5 suspek dituduh culik pemaju hartanah

Tiada pengakuan direkodkan oleh Mahkamah Majistret di sini terhadap enam tertuduh termasuk bekas calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali atas kesalahan menculik seorang pemaju hartanah dalam kejadian pada 10 Jun lalu.

Tertuduh, Datuk Ramachandran Kandasamy, 50, yang pernah menjadi calon pada Pilihan Raya Umum Ke-13 mewakili PKR itu dituduh bersama lima lagi suspek termasuk seorang warga Bangladesh, Kasi Nasrul, 42, atas kesalahan menculik ahli perniagaan, Datuk Seri Arumugam Renganathan.

Selain Kasi, empat lagi tertuduh berusia 26 hingga 56 tahun yang turut didakwa bersubahat dalam penculikan adalah Azhari Shahrom Shaihmi, 56, Mohamad Durai Abdullah, 52, Sheikh Ismail Sheikh Hassan, 26 dan Vikneswarar Nagenthiran, 28.

Kesemua mereka sebelum itu dibawa dengan tangan bergari dan dikawal ketat polis dengan van polis sekitar jam 9.40 pagi.

Mereka memasuki kandang pertuduhan dalam keadaan pakaian biasa sebelum kertas pertuduhan dibacakan berasingan oleh jurubahasa sekitar jam 12.30 tengahari di hadapan Majistret, Mohamad Ikhwan Mohd Nasir.

Mengikut pertuduhannya, tertuduh utama Ramachandran didakwa iaitu pada 10 Jun lalu, jam 10. 30 pagi bertempat di Taman Kejiranan Central Spine, Jalan Margosa, Bandar Seri Damansara bersubahat bersama Azhari Shahrom, Kasi, Mohamad Durai, Sheikh Ismail dan Vikneswaran menculik Arumugam dengan niat mendapatkan wang tebusan sebanyak RM153 juta.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 3 Akta Colek 1961 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau sebat.

Lima tertuduh berkenaan turut didakwa atas kesalahan sama iaitu menculik Arumugam pada tarikh, masa dan tempat yang sama.

Kelima-lima mereka dituduh di bawah Seksyen 3 Akta Colek 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan mereka boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup atau sebatan.

Ramachandran yang merupakan tertuduh utama dan lima yang lain mengangguk kepala sebagai memahami pertuduhan yang dihadapinya namun tiada pengakuan direkodkan.

Pendakwaan dibuat oleh Timbalan Pendakwaraya, Hakim Amir Abdul Hamid dan Ramachandran diwakili peguam, Sivaraj Retinasekharan manakala lima yang lain tidak diwakili peguam.

Peguam, Datuk Geethan Ram Vincent hadir sebagai pemerhati kes mewakili keluarga mendiang Arumugam.

Peguambela Ramachandran, Sivaraj berkata, anak guamnya mempunyai masalah kesihatan dengan mengalami hipertensi dan meminta mahkamah mengarahkan polis menyediakan khidmat perubatan.

Majistret membenarkan permintaan perubatan untuk Ramachandran bagaimanapun tidak membenarkan jaminan untuk kesemua tertuduh dan menetapkan 27 Ogos ini sebagai tarikh pengurusan kes.

Sebelum itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, mayat mangsa telah ditemui di dalam belukar di Batu 27 Jalan Rawang, Bestari Jaya, Rawang, Hulu Selangor jam 9 pagi.

Menurutnya, sebuah rumah di Rawang disyaki dijadikan tempat menyembunyikan mangsa culik oleh suspek.

Kesemua suspek direman enam hari sebelum suspek utama, Ramachandran dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 3 Julai lalu sebelum disambung reman tujuh hari lagi sehingga semalam.

Mayat mangsa ditemui dan dihantar ke Hospital Serdang tetapi proses bedah siasat hanya bermula 2 Julai lalu dan sehingga kini polis masih menunggu hasil laporan tersebut.- MalaysiaGazette

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker