Cisco lancar program pembiayaan sifar peratus untuk PKS Malaysia

Syarikat teknologi Cisco memperkenalkan program pembiayaan baharu kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia untuk membeli produknya tanpa dikenakan faedah dan bayaran pendahuluan serta tempoh pembayaran bulanan secara tetap selama tiga tahun.

Dalam kenyataan hari ini, Cisco berkata tawaran itu terbuka kepada semua portfolio produknya termasuk perisian, perkakasan dan perkhidmatan.

Beliau berkata pelancaran program itu adalah ketika Malaysia mula melonggarkan langkah-langkah berkaitan COVID-19 yang menyaksikan pelbagai sektor ekonomi memulakan semula operasi di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Cisco berkata gangguan rantaian bekalan yang berpanjangan dan aktiviti perniagaan yang berkurangan di negara ini telah menjejaskan PKS, menyebabkan mereka berusaha lebih keras untuk mengekalkan operasi selepas pandemik itu.

Pengarah Urusan Cisco Malaysia, Albert Chai berkata pandemik itu telah memberikan impak besar kepada perniagaan dan perubahan dalam pemikiran apabila mereka kini lebih terbuka terhadap idea menyepadukan teknologi dalam pelbagai aspek perniagaan serta mempercepatkan perjalanan transformasi digital untuk mengharungi keadaan semasa dan mendorong pertumbuhan pada masa depan.

Beliau berkata pada masa ini, PKS menumpukan kepada teknologi untuk mendigitalkan perniagaan mereka dan memulakan semula operasi dengan mematuhi panduan, membuka peluang pertumbuhan baharu dan menyumbang kepada pemulihan ekonomi secara keseluruhan.

“Program baharu ini bertujuan menyediakan bantuan kewangan kepada PKS yang ingin dilengkapkan dengan peralatan dan penyelesaian yang diperlukan untuk mempercepatkan perniagaan mereka dalam era digital baharu. Ini akan memudahkan PKS tempatan untuk memulakan perjalanan mereka.

“Ketika dunia mengharungi ketidaktentuan ekonomi, kami di Cisco komited untuk menjalankan tugas bagi meringankan beban PKS di Malaysia,” kata Chai.

Program pembiayaan sifar peratus itu akan memberikan PKS akses kepada pengupaya teknologi yang diperlukan daripada Cisco tanpa mengganggu belanjawan mereka.

PKS akan menikmati pelan sewaan pembayaran penuh selama tiga tahun dengan membuat pembayaran yang sama selama 36 bulan bagi pembelian dari Cisco yang berharga antara US$20,000 dan US$300,000 (RM85,600 dan RM1.28 juta) dan akan memiliki sepenuhnya peralatan itu ketika tempoh kontrak berakhir.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker